Exco Selangor anggap filem Kabali sarat mesej

Exco Selangor anggap filem Kabali sarat mesej

Inisiatif menggalakkan masyarakat mendapat pemahaman moral secara berkesan diteruskan menerusi landasan tayangan filem berkualiti dan sarat mesej sosial.

Usaha itu digerakkan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menerusi tayangan perdana filem Kabali di Summit USJ, malam tadi, lapor Selangorkini.

“Program seumpama ini bukan pertama kali kita anjurkan. Sebelum ini kita tampilkan filem ‘Berlari Ke Langit’ dan ‘Ola Bola’ merujuk kepada masyarakat Melayu dan Cina.

“Kali ini kita bawa filem Kabali yang mengetengahkan realiti kehidupan masyarakat India di negara ini sebagai sebahagian usaha Kerajaan Negeri mengetengahkan filem dengan mesej baik dan bermanfaat kepada komuniti amnya,” katanya.

Amirudin berkata, inisiatif itu akan diteruskan sebagai usaha Kerajaan Negeri merancakkan lagi pembangunan karya seni di negeri ini.

Sementara itu, 270 orang terdiri daripada komuniti Selangor Indian Youths dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor hadir memeriahkan sesi tayangan filem Kabali, lakonan bintang terkemuka India, Rajinikanth.

Kabali mengisahkan konflik kaum India menuntut pembebasan daripada kapitalis British yang memandang remeh terhadap isu kebajikan pekerja ladang.

Watak Kabali mejadi lambang kepada perjuangan masyarakat India untuk keluar daripada kekangan dan penindasan.

Filem arahan PA Ranjith menjalani penggambaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur itu turut menampilkan pelakon tempatan seperti Rosyam Nor dan Norman Hakim.