Exco Selangor mohon maaf kesilapan garis panduan ibadat bukan Islam

Exco Selangor mohon maaf kesilapan garis panduan ibadat bukan Islam

Exco kerajaan negeri Datuk Teng Chang Khim memohon maaf dan bersedia meletak jawatan jika diminta berbuat demikian berhubung kesilapan Garis Panduan Manual Selangor dan Piawaian Perancangan negeri Selangor yang dikatakan menyekat tempat-tempat ibadat bukan Islam.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan itu berkata, mengesan beberapa kesilapan sebelum ini dan mengarahkan supaya ia dipinda serta akan meminta Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menangguhkan perkara itu, Rabu ini.

“Laporan yang saya terima kemudian menyatakan bahawa ini sudah dipinda. Berdasarkan laporan itu, saya tidak semak semula. Saya percaya bahawa permohonan pindaan berhubung tempat ibadat bukan Islam dikaji semula.

“Oleh itu, saya memohon maaf atas kesilapan tidak menyemak semula manual itu sebelum membentangkannya kepada MMKN.

Teng Chang Kim“Saya mengakui kesilapan itu dan bertanggungjawab sepenuhnya. Jika kamu rasa saya melakukan kesilapan dan perlu meletakkan jawatan, saya akan berbuat demikian, jika ia begitu serius,” katanya seperti dipetik portal Selangorkini.

Terdahulu, Chang Khim berkata kesilapan dan peruntukan kontroversi dalam Manual Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor edisi ke-3 berhubung peraturan membina rumah ibadat bukan Islam yang baharu akan dibuang.

Beliau pada awalnya meminta pegawai melakukan pindaan, sebaik sahaja menyedari wujud banyak kesilapan dan peraturan kontroversi sebelum edisi ke-3 itu diterbitkan pada 1 Januari lalu, tetapi pegawai terbabit tidak berbuat demikian menyebabkan masalah timbul.

Garis panduan edisi ke-3 itu adalah semakan kepada versi lama, bertujuan menjadikan peruntukan tidak jelas, lebih jelas dan hanya terpakai kepada rumah ibadat bukan Islam yang baharu.

Antara peruntukan bermasalah itu termasuk rumah ibadat bukan Islam tidak boleh dibina dalam kawasan komersial atau dalam jarak 50meter dari rumah umat Islam.

Pembinaan rumah ibadat bukan Islam dalam kawasan kediaman penduduk berbilang kaum perlu mendapat persetujuan penduduk yang tinggal dalam lingkungan 200m, selain rumah ibadat itu tidak boleh tinggi daripada masjid berdekatan.

COMMENTS

Wordpress (0)