Exco Terengganu jumpa Anwar di majlis Abim

Tengku Hassan bersalam dengan Anwar selepas majlis berbuka puasa Abim. Kedua-duanya selepas itu dilihat berbincang sesuatu.

Exco kerajaan negeri Terengganu, Datuk Tengku Hassan Omar bertemu dengan Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipercayai berkaitan dengan royalti minyak.

Pertemuan itu berlangsung di ibu pejabat Abim, Sungai Ramal, Kajang ketika Anwar mengadakan pertemuan dengan pemimpim Abim, Wadah dan juga PKPIM, sayap pelajar untuk Abim.

Anwar dan Tengku Hassan yang juga bekas aktivis Abim Terengganu dilihat berbincang di tengah-tengah orang selepas Anwar berucap di majlis itu malam tadi.

Dalam pembentukan portfolio baru selepas Pas menang di Terengganu dalam PRU 14 lalu, Tengku Hassan telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri.

Pemimpin Pas yang mentadbir Kelantan dan Terengganu sedang melobi agar kerajaan pusat memberikan royalti petroleum kepada kedua-dua negeri itu.

Royalti petroleum ditarik balik oleh kerajaan pusat dari Terengganu pada tahun 2000, empat bulan selepas Terengganu ditadbir oleh Pas.

Ia kemudiannya diberikan dalam bentuk wang ehsan oleh kerajaan BN pimpinan Dr Mahathir ketika itu.

Kerajaan Pas Kelantan di bawah Tok Guru Nik Aziz pula berusaha menuntut royalti minyak dari kerajaan pusat.

Ia dipelopori oleh Exco Ekonomi ketika itu, Husam Musa.

Kemudian kedua-dua kerajaan negeri itu menyaman Petronas dengan menggunakan peguam terkenal, Tommy Thomas.

Semasa pilihan raya umum lepas, PH berjanji akan memberikan royalti 20% kepada Kelantan dan Terengganu jika memperolehi kuasa di pusat.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam satu wawancara dengan media PH selepas menang juga berkata, kerajaan pusat akan memberikan royalti petrolium kepada kedua-dua negeri itu.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa ketika wawancara dengan Astro Awani juga mencadangkan kerajaan pusat memberikan royalti 5% sebagaimana perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas terus ke akaun kerajaan negeri.

7.7
OVERALL SCORE
: 10.0
5 user votes x 7.2