Malaysia Dateline

Exco Terengganu perlu lebih prihatin kebajikan nelayan, kata Faiz

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Faiz Fadzil berharap kerajaan negeri Terengganu menyegerakan proses birokrasi projek pembinaan perumahan nelayan di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.

Menurutnya, projek di negeri itu termasuk di Setiu, Kemaman dan Besut di mana peruntukan pembinaan rumah ditanggung LKIM.

Beliau juga berharap kerajaan negeri Terengganu menyediakan peruntukan khas untuk nelayan pada musim tengkujuh seperti langkah kerajaan Persekutuan memberikan elaun sara hidup bulanan kepada 40,000 nelayan di seluruh negara.

Mengulas dakwaan Exco kerajaan negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim kononnya beliau ada meminta pemimpin Pas itu memberi peruntukan kepada LKIM, Faiz berkata, beliau hanya menekankan hal berkaitan kebajikan nelayan.

“Ketika saya menyapa beliau (Dr Azman) dan menghulurkan tangan berjabat salam dengan beliau, saya ada menyebut kepada beliau untuk kita sama-sama menjaga kebajikan nelayan dan meminta Kerajaan Negeri Terengganu untuk memberikan kerjasama dan bantuan yang diperlukan LKIM Terengganu bagi tujuan menjaga kebajikan nelayan.

“Ini adalah kerana bagi menjayakan sesuatu projek atau program, integrasi antara kerajaan negeri dan persekutuan amat penting kerana kedua-duanya mempunyai bidang kuasa masing-masing yang perlu dihormati dan dilaksanakan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Faiz berkata, kerajaan berfungsi untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga sebaik mungkin tanpa menjadikan perbezaan ideologi politik sebagai sempadan.

“Kepentingan dan kebajikan nelayan akan terus terbela jika kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dapat berintegrasi dengan baik. Inilah konsep federalisme yang mahu dipraktiskan oleh kerajaan Pakatan Harapan,” ujarnya.

Kelmarin, Dr Azman dipetik Sinar Harian mendakwa Faiz ada meminta kerajaan negeri Terengganu memberikan peruntukan kepada LKIM sedangkan LKIM agensi Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, LKIM sebagai contoh ada melaksanakan projek perumahan nelayan seperti di Semop, Sarawak; Tanjung Dawai, Kedah dan Tok Bali, Kelantan.

Jelasnya, peruntukan pembinaan rumah ditanggung LKIM manakala penyediaan tanah serta pembinaan infrastruktur ditanggung kerajaan negeri memandangkan tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Terdapat juga peruntukan kerajaan negeri secara langsung kepada nelayan seperti kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan bantuan pukat sebanyak RM1.2 juta bagi tahun 2019,” ujarnya.

Faiz bagaimanapun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Azman yang katanya, memanipulasi kata-kata beliau untuk kepentingan politik kerana Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu berpegang kepada prinsip kebebasan bersuara.

“Saya cuma mengharapkan beliau lebih kreatif dan mempedulikan kebajikan nelayan yang amat memerlukan pembelaan kerajaan.

“Konsep federalisme harus difahami betul-betul oleh beliau sepertimana kata-kata sarjana K.C. Wheare bahawa “Federalism ialah pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dan negeri dan setiap kerajaan dihadkan dalam bidangkuasa masing-masing, sedarjat, dan bebas iaitu tidak campur tangan antara satu sama lain”,” katanya lagi.