Malaysia Dateline

Expo Dubai 2020: Timbalan Menteri Pas mengaku silap fakta

AMANAH Terengganu menyatakan bantahan terhadap penyertaan Malaysia di Expo Dubai 2020 selepas Palestin mengumumkan tidak menyertai kerana UAE menjalin kerjasama dan iktiraf Israel.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim akhirnya memperbetulkan fakta berkenaan penyertaan Palestin di Expo Dubai 2020.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengakui silap memetik kenyataan berhubung perkara itu.

Terdahulu di laman Facebooknya, beliau dengan tegas mengatakan Palestin menyertai Expo terbesar itu dengan membuka Pavillion lebih 1,250 meter persegi di tapak eskpo berkenaan.

Malah beliau turut membidas Pemuda AMANAH yang membantah penyertaaan Malaysia di Expo Dubai 2020 kerana Palestin tidak menyertainya.

Amzad menyindir Pemuda AMANAH sebagai “Dah lebih Palestin dari negara Palestin sendiri agaknya..” apabila AMANAH Terengganu mendesak Kerajaan Malaysia menarik diri dari menyertai Expo tersebut bahkan juga menuntut agar papan iklan mempromosi program terbabit diturunkan di Kuala Nerus.

Menurut Pemuda AMANAH Amzad ternyata gagal dalam mengambil tahu perkembangan semasa dunia Islam, Kerajaan Palestin telah menarik diri dari menyertai Expo sejak 17 Ogos 2020 ini setelah UAE menjalin kerjasama dan iktiraf Israel.

“Saya perlu perbetulkan fakta Ekspo Dubai 2020 yang silap dipetik berkenaan penyertaan Palestin.

“Palestin telah menarik diri dari Ekspo berkenaan melalui pengumuman mereka pada Ogos 2020.

“Semua rujukan kepada fakta yang silap itu saya tarik balik dan perlu dibetulkan.

“Saya berterima kasih berkenaan pembetulan maklumat berkenaan dan mengambil maklum.

“Kerajaan Malaysia telah memaklumkan posisi Malaysia dalam hal ini melalui jawapan yang telah diberikan dalam Parlimen,” tulis Amzad di Facebooknya.

Bagaimanapun posting beliau yang mempertahankan Palestin sertai Expo Dubai 2020 serta sindiran kepada Pemuda AMANAH telah dipadam.