Malaysia Dateline

Ezam Mohd Noor

Ezam gesa KPN buka semula kes video intim mirip Menteri Ekonomi

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador digesa membuka semula kes video intim mirip Menteri Hal Ekonomi, berdasarkan bukti baharu yang khabarnya diterima Ibu Pejabat Polis Bukit Aman beberapa minggu lalu.

Gesaan itu disuarakan oleh Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

Menurut Mohamad Ezam, beliau mahu siasatan kes tersebut dilakukan secara profesional dan telus.

“Sebelum ini dakwaan terbuka telah dilakukan oleh seorang bernama Haziq membabitkan seorang Menteri Kanan bernama Mohamed Azmin Ali yang merupakan Menteri Ekonomi.

“Ianya dakwaan serius dan sehingga hari ini tiada tindakan terhadap pendakwa atau pun yang didakwa.

“Menteri Ekonomi ini banyak melakukan sabotaj ekonomi dengan secara terbuka menggagalkan pelan peralihan kuasa Perdana Menteri yang memberi kesan kepada ekonomi negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Ezam berkata, Menteri Ekonomi itu juga dikaitkan dengan beberapa komplot kerajaan pintu belakang yang juga mengakibatkan kesan negatif kepada ekonomi negara dan merosakkan imej serta keyakinan pelabur kepada Malaysia.

Beliau berkata, kesannya amat jelas dan ekonomi Malaysia ditahap terburuk dengan KDNK paling rendah pada suku akhir 2019.

“Rakyat semua peringkat merasai keperitan yang semakin berpanjangan. Justeru ,alasan kukuh untuk mempercayai Menteri Ekonomi yang terpalit dakwaan skandal seks songsang bersama bukti video ini, hilang fokus dari menjalankan tanggungjawab selamatkan ekonomi negara kepada selamatkan dirinya sendiri.

“Tan Sri Hamid mempunyai rekod meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan lain sewaktu ketika dahulu, dengan berani meletakkan jawatan dalam isu 1MDB yang melanda negara ketika itu.

“Saya harap beliau kekal dengan sikap meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik mana-mana kelompok dan individu,” ujarnya lagi.