Ezam ingatkan PKR jangan angkuh

Ezam ingatkan PKR jangan angkuh

Pengasas PKR Mohamad Ezam Mohd Nor mengingatkan parti lamanya itu berhati-hati dengan setiap tindak-tanduk yang dipertontonkan kepada rakyat.

Beliau yang kini mempengerusiakan NGO anti rasuah Hisbah Centre For Reform (Hisbah) berkata, berhujah dan mencabar secara terbuka boleh dilihat sebagai ciri kebebasan dan demokratik tetapi pada sisi lain ia boleh dilihat sebagai lambang keangkuhan.

“Pada sisi lain ia boleh dilihat sebagai lambang keangkuhan kerana terlalu yakin rakyat akan tetap sokong dan makanya mampu berbalah secara terbuka di hadapan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika PKR dilanda krisis dalaman ekoran isu kerjasama dengan Pas yang dibuat di luar persetujuan Pakatan Harapan (PH) walaupun PKR merupakan parti komponen dalam gabungan itu.

Bekas senator itu mengimbau sejarah bahawa kejayaan awal perjuangan reformasi 1998 adalah apabila Umno dan BN dilihat terlalu angkuh dan terlalu yakin menang.

“Mereka tumbang kerana keangkuhan. Maka berhati-hatilah. Jangan sampai ada ciri keangkuhan yang dipamerkan kepada rakyat,” katanya.

{loadposition myposition}

Beliau juga berpandangan, ciri-ciri keangukuhan sudah terdapat dalam PH walaupun bukan PKR.

“Sudah ada ciri-ciri keangkuhan dalam sebuah parti (bukan PKR) dalam Harapan yang acap kali beri kata dua kepada pihak lain yang tidak sealiran.

“PKR sebagai butir kelahiran perjuangan reformasi rakyat harus padamkan sifat keangkuhan ini,” tegasnya.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Ezam mengumumkan menyertai Bersatu tetapi selepas tiga bulan menyertainya beliau sekali lagi mengumumkan keluar daripada menyertai parti serpihan Umno itu.

Beliau dilaporkan mahu menumpukan perhatian terhadap Hisbah.

Pada 4 April lalu, beliau mengumumkan untuk menyertai Parti Generasi Baru dan dilantik sebagai Presiden manakala Timbalannya Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Bagaimanapun pendaftaran pendaftaran perti itu tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

CATEGORIES
TAGS