Malaysia Dateline

Ezam sasar bertanding di Pekan, Shah Alam, sedia kerjasama dengan PH, Pas

Lembaga Hisbah Centre for Reform (Hisbah) sebulat suara bersetuju Pengerusinya Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor tampil menjadi calon mewakili Hisbah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Pengerusi Hisbah Syed Nasaruddin Syed Aziz Al Haj dalam satu kenyataan selepas berlansungnya mesyuarat tahunan Hisbah semalam.

Ezam ketika dihubungi Malaysia Dateline mengesahkan, menerima keputusan Lembaga Hisbah dan akan bertanding pada pada PRU14 akan datang.

“Ya. Kami cadang wakili Hisbah sebagai NGO dan calon bebas dalam PRU14 akan datang. Hisbah hanya cadang satu calon dan satu kawasan sahaja,” ujarnya.

Bekas Senator ini dijangka akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di Parlimen Pekan atau Shah Alam.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai Amanah apabila berhajat bertanding di Shah Alam, beliau enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya hanya berkata, kedua kawasan itu (Pekan dan Shah Alam) akan menjadi sasarannya kerana ia menepati kategori hisbah.

Ini membawa maksud Hisbah bercadang meletakkan calonnya di kawasan yang memberi impak besar dalam perjuangan melawan rasuah iaitu di Parlimen Pekan.

Sebagaimana kenyataan Syed Nazarudin kawasan parlimen ini akan dipilih atas beberapa faktor tetapi faktor yang paling utama ialah sama ada ia mampu memberi impak terbesar kepada perjuangan melawan jenayah al ghulul (kecurian harta negara).

“Parlimen Pekan menjadi pilihan utama kerana ianya diwakili oleh ahli parlimen yang mengetuai pentadbiran kerajaan yang membenarkan dan mempraktikkan al ghulul di Malaysia hari ini dalam skala kecurian terbesar didunia.Satu hakikat yang mencemar nama negara dan Islam itu sendiri.

“Calun Hisbah ini dipertanggungjawabkan untuk membawa isu rasuah dan al ghulul sepanjang kempen pilihanraya nanti dan sekiranya menang akan membawa isu rasuah dan al ghulul dari sudut Islam dan cabaran kepada ummat melayu islam di Malaysia didalam Parlimen Malaysia nanti,” ujar Syed Nazaruddin.

Bagaimanapun Lembaga Hisbah juga berpendapat dalam waktu yang sama Hisbah mengenalpasti kawasan Parlimen lain yang wajar untuk ditandingi Hisbah selain Parlimen Pekan.

“Kriteria kawasan Parlimen itu mestilah pola pengundi majoriti melayu dan kawasan bandar.

“Dua ciri ini menjadi kriteria utama sesuai matlamat Hisbah meletakkan calun untuk membawa isu rasuah khususnya kepada penghayatan orang Melayu Islam d Malaysia dan strategi pengembangan dakwah menentang kerosakan ini harus bermula di kawasan strategik yakni di bandar.

“Hisbah sedia berbincang dengan parti sedia ada (kecuali BN) di Malaysia untuk melihat ruang kerjasama dalam penglibatan Hisbah ini,” ujarn Nazarudin lagi.

Ezam juga dijangka akan menamatkan khidmatnya di Hisbah cawangan Jakarta dan Lembaga telah meminta beliau  menamatkan khidmat beliau di Hisbah, Jakarta dan tugas pengajian dibeberapa universiti di Yogyakarta dan Surakarta serta merta dan kembali menumpukan usaha sepenuhnya di Malaysia mulai Januari 2018.