Fabio Maciel kembali bimbing Kuala Lumpur

Fabio Maciel kembali bimbing Kuala Lumpur

Teka teki siapa bakal menjadi pengendali baharu skuad Liga Super Kuala Lumpur kembali menjadi persoalan apabila Yusri Che Lah meletakan jawatan sebagai ketua jurulatih hari ini.

Nama bekas pengendali terdahulu, Fabio Maciel da Silva yang disingkirkan gara-gara prestasi buruk tahun lepas kembali dikaitkan setelah jurulatih itu mengakui ada menerima tawaran daripada sebuah pasukan Liga Super dan menyatakan minat untuk kembali ke kancah Liga Malaysia.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, ketika ditanya berhubung perkara tersebut, bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu.

Sebaliknya, beliau sekadar mendedahkan bahawa telah berlaku sesi rundingan dengan jurulatih kelahiran Brazil itu.

“Selepas kekalahan semalam, pihak KLFA telah menerima lima tawaran daripada beberapa individu untuk melatih skuad Kuala Lumpur, dua daripadanya adalah daripada jurulatih tempatan dan selebihnya dari luar.

“Sejak daripada kekalahan pertama, kami telah menerima tawaran daripada jurulatih yang berminat melatih Kuala Lumpur,” katanya di sini hari ini.

Sebagai rekod, Fabio Maciel merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membawa ‘The Hawks’ kembali beraksi di Liga Super selepas lima musim dengan menjuarai saingan Liga Premier 2017.

Bagaimanapun, beliau menjadi ‘korban’ pertama Piala Malaysia selepas direhatkan oleh KLFA berkuat kuasa serta merta.

Keputusan KLFA untuk mengambil tindakan itu dipercayai susulan kekalahan besar yang dilakar skuad The Hawks itu selepas tumbang 1-5 di tangan Terengganu pada aksi pertama Kumpulan A di laman sendiri.

Sementara itu, Nokman mengesahkan tempat Yusri akan diambil alih sementara oleh penolong jurulatih, Chong Yee Fatt sebelum melantik ketua jurulatih yang baharu.- BERNAMA