Malaysia Dateline

Facebook Mahiaddin dihujani kritikan bila mahu buka Parlimen

Hantaran Facebook Tan Sri Mahiaddin Md Yasin tentang perbincangannya dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi telah menjadi medan para warganet untuk menyerang Perdana Menteri Malaysia itu.

Dalam tempoh satu jam sahaja, hantaran itu dihujani hampir 2,000 komen tetapi penuh dengan kecaman rakyat terhadap beliau.

Kebanyakannya membangkitkan tentang titah Yang di-Pertuan Agong berkenaan persidangan Parlimen yang perlu dibuka secepatnya.

Pengguna Facebook, Azizah menyindir tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dilihat sengaja mahu tunjuk kononnya sedang berusaha mencari pelaburan, tetapi masalah dalam negara masih tidak selesai.

“Konon-konon nak tunjuk hebat ada usaha itu ini, hubungan diplomatik lah, pelaburan lah konon.

“Walhal keadaan dalam negara berserabut tak habis-habis. Selesaikan isu dalam negara dulu. Jangan nak tutup ‘kemusnahan’ yang dah dilakukan pada negara,” tulisnya.

Ada juga yang mengingatkan bahawa sudah dua kali Yang di-Pertuan Agong memberi peringatan dan adakah Mahiaddin mahu menunggu sehingga dapat surat amaran.

“Tiada negara lain di dunia ini yang tutup Parlimen kerana Covid-19. Tak pernah dicadangkan pakar kesihatan untuk tutup Parlimen. Apakah agenda sebenar?,” soal pengguna lain.

Pengguna akaun Sufi juga bertanya, “kenapa Parlimen tak boleh bersidang, alasan apa lagi nak bagi,” soalnya.

Menerusi hantaran Facebook Mahiaddin hari ini, beliau berkata perbincangan dengan Presiden Mesir bertujuan untuk memfokuskan kepada usaha menyemarakkan semula hubungan dan kerjasama dua hala Malaysia-Mesir, terutama dalam konteks politik dan ekonomi.

Katanya, pada perbincangan julung kali yang diadakan secara persidangan video itu, beliau mengambil inisiatif mengemukakan pandangan bahawa sudah tiba masanya untuk Malaysia mengeratkan semula hubungan dengan Mesir.

“Kami juga banyak menyentuh berkenaan isu-isu kepentingan bersama, khususnya dalam memupuk kerjasama lebih meluas dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur.

“Mesir merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar di rantau Afrika Utara dengan nilai dagangan pada tahun lepas mencecah RM2.06 bilion.

“Sebagai antara negara pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar di Afrika, saya menggunakan kesempatan itu untuk menggalakkan pihak Mesir agar bukan sahaja terus mengimport komoditi ini dari Malaysia, malah meningkatkan jumlah import pada masa hadapan,” katanya.