Facebook Tangmo tiba-tiba aktif, rupanya ibu mendiang jadi dalang sebab nak cari punca?

Oleh KIM SYAZIE

Setelah beberapa hari netizen berteka teki tentang status Facebook aktres Thailand, Tangmo Nida yang kembali aktif, akhirnya terbongkar dalang di sebalik kejadian tersebut.

Media melaporkan, ibu mendiang iaitu Panida telah tampil membuat pengakuan bahawa dia telah menghantar telefon bimbit Tangmo kepada individu di Amerika Syarikat untuk mencari punca kematian anaknya.

Menerusi akaun TikTok najiyahrazak_so1, pengguna tersebut memberitahu bahawa peguam Panida, Decha Kittiwittayanan telah mengadakan sidang media dan mendedahkan siapa yang menggunakan Facebook Tangmo dan terus menerus menyiarkan gambar mendiang di Facebook.

Panida menyatakan tindakannya menghantar telefon bimbit kepada lelaki dikenali sebagai Bang Jack itu sekadar untuk mendapatkan jawapan sama ada anak perempuannya itu dibunuh atau tidak.

Namun tidak menyangka gambar-gambar peribadi mendiang digunakan dan disebarkan.

“Perkara ini disahkan oleh ibu Tangmo yang telefon bimbit itu sekarang berada di tangan Bang Jack. Panida menghantar ke Amerika Syarikat menerusi pos dan semua itu dilakukan sendiri tanpa bantuan sesiapa. Kos penghantaran yang dibayar Panida adalah 2,500 baht.

“Bang Jack kerap menghubungi Panida dan hubungan mereka menjadi rapat. Panida mempercayai Bang Jack yang mengatakan telefon bimbit itu mempunyai bahan bukti yang merujuk kepada kes pembunuhan,” kata peguam Panida, Decha.

Difahamkan, Panida tekad menghantar telefon bimbit anaknya kepada Bang Jack kerana gagal mendapatkan gambar-gambar anaknya biarpun selepas menghubungi Apple Thailand.

“Panida ada menghubungi Apple Thailand untuk mendapatkan semula koleksi foto yang ada dalam telefon bimbit itu tetapi gagal. Bang Jack berjaya meyakinkan Panida yang dia boleh mendapatkan bukti menunjukkan kes itu adalah pembunuhan.

“Dalam telefon bimbit itu mempunyai lebih 1 juta gambar namun tiada bukti yang boleh membuktikan itu kes pembunuhan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada akan menfailkan saman terhadap Bang Jack susulan tersebar gambar-gambar peribadi Tangmo, Peguam Decha memberitahu Panida memohon tempoh dua hari untuk berfikir dan akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat.

Pada 24 Februari lalu, Tangmo dilaporkan lemas selepas terjatuh dari bot laju yang dinaikinya bersama lima orang lain di Sungai Chao Phraya di wilayah Nonthaburi.

Polis menamatkan siasatan mereka dan mendakwa rakannya memandu bot laju itu secara melulu menyebabkan kematiannya tetapi beberapa aktivis mendakwa dia dibunuh.

Baca juga: Penang Islamic Digital Library perpustakaan Islam moden pertama di Pulau Pinang

Baca juga: Remaja 14 tahun tergamak tikam ibu hingga parah