Malaysia Dateline

Fadillah sedia beri khidmat terbaik di DUN Semop

Calon AMANAH Sarawak bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop, Fadillah Sabali berjanji untuk memberi khidmat terbaik kepada masyarakat tempatan jika memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

Beliau berkata, isu utama yang diperjuangkan pastinya berkenaan pembangunan yang masih belum sempurna.

Menurutnya, penduduk setempat amat memerlukan rangkaian jalan raya, bekalan air dan elektrik, liputan internet serta infrastruktur yang lain.

“Namun seiring dengan usaha berkenaan, saya juga ingin mengusahakan tiga agenda rakyat yang ingin ditawarkan iaitu 3S; Sara hidup, Sihat dan Selamat.

“Hal ini ditekankan kerana dalam banyak perkara pembangunan disebutkan seringkali yang tertinggal adalah kemandirian hidup.

“Saya ingin memastikan rakyat di DUN Semop ini dapat membina kehidupan dalam kecukupan tanpa terpaksa menagih simpati daripada orang lain,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Fadillah, 40, antara 349 calon mewakili pelbagai parti termasuk Bebas yang disahkan bertanding dengan hari membuang undi akan berlangsung, 18 Disember ini.

DUN Semop menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan penyandang bagi penggal ketiga kerusi itu, Datuk Abdullah Saidol dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Turut berentap Adenan Zulkepli (Bebas – Rumah), Abdul Raafidin Majidi (Parti Sarawak Bersatu) dan Jenny Wong Khing Ling (Parti Bumi Kenyalang).

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu ini kali ketiga beliau dalam tempoh lima tahun bertanding pilihan raya untuk DUN Semop walaupun pada 2018 di peringkat Parlimen tetapi masih di tempat yang sama.

“Apabila bertanding sememangnya kita mengharapkan kemenangan. Peluang nak menang di Sarawak ini memerlukan keajaiban, walaupun begitu saya tetap positif ia boleh ada,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi dapat menilai prestasinya sejak tahun 2016 lagi apabila menyantuni penduduk terutama dalam hal-hal kebajikan dan pendidikan sekalipun masih belum berpeluang menjadi wakil rakyat.

“Saya juga berharap pengundi dapat memilih saya sebagai calon yang sentiasa terbuka untuk berjumpa dan berbincang dalam mencari penyelesaian terbaik.

“Saya akan bekerjasama dengan semua pihak dengan penuh hormat dan kemesraan.

“Insha Allah apabila menang, saya berjanji untuk memberi komitmen sepenuhnya dalam mencari jalan penyelesaian isu-isu penduduk agar dapat mencapai kebahagiaan dan kegembiraan,” kata Fadillah.

Seramai 1,213,769 pengundi biasa daripada 1,252,014 pengundi berdaftar, layak mengundi pada 18 Disember ini manakala terdapat 20,360 pengundi awal dan 17,885 mengundi secara pos.