Malaysia Dateline

Fadillah sedia bertanding di DUN Semop

Setiausaha Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak, Fadillah Sabali (gambar atas) sedia bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak, sekiranya dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop.

Bagaimanapun, katanya keputusan meletakkan calon bertanding di setiap DUN adalah terletak di tangan pemimpin peringkat nasional dan negeri.

“Apa pun, keputusan terletak di tangan pemimpin atasan dan saya bersedia dicalonkan terutamanya di DUN Semop.

“Namun hal ini saya serahkan kepada pimpinan nasional untuk putuskan kerana kita ada disiplin parti yang mesti diikuti,” ujar beliau ketika ditanya kerusi DUN yang bakal ditandinginya pada PRN12 Sarawak nanti.

Menurut Fadillah, sebelum ini beliau telah bertanding pada PRN11 di DUN Semop dan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 bagi kerusi Parlimen Tanjung Manis 2018 lalu.

“Bagi saya, warga di DUN Semop dan Parlimen Tanjung Manis umpama keluarga dan kawan-kawan. Saya telah mengenali mereka sebelum terlibat dalam politik lagi malah semakin ramai yang saya jumpa dan berkenalan.

“Kami bersama-sama berjuang demi perubahan yang lebih baik kepada masyarakat dan penduduk serta generasi akan datang.

“Di kala belum dikenali, saya berkesempatan untuk melawat semua kawasan untuk menyelami sendiri kehidupan mereka,” jelasnya yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

Tambahnya, beliau telah merasai sendiri dengan keadaan penduduk yang meneruskan kehidupan tanpa kemudahan seperti bekalan air dan elektrik yang hanya bergantung kepada generator serta tiada memiliki akses jalan darat sempurna yang hanya boleh dilalui motosikal sebelum ini.

“Begitu juga, saya sentiasa menyapa sesiapa sahaja sekiranya bertemu dengan masyarakat di kawasan walaupun mereka tidak mengenali saya sebagai bekas calon.

“Ketika itu, ia sangat memudahkan untuk bergaul dan beramah mesra kerana tiada jurang terbina. Malah saya dapat lebih memahami dan mengetahui pelbagai isu serta masalah yang berlaku tanpa ada rasa ragu-ragu daripada penduduk kampung.

Katanya lagi, selama empat tahun menelusuri semua kampung termasuk rumah-rumah panjang yang terdapat di DUN Semop, beliau telah dapat banyak pengalaman dan pendekatan bagi menyelesaikan masalah yang timbul di tempat terbabit

“Justeru, adalah diakui setentunya dalam keadaan sekarang, saya belum berkemampuan untuk melaksanakan atau menyelasaikan masalah yang ada sepenuhnya.

“Namun hal ini lebih mudah apabila pengundi menyokong dan memilih saya sebagai wakil rakyat mereka.

“Maka atas nama dasar demokrasi, setiap orang yang layak adalah berhak menjadi calon dan begitu juga hak sebagai pengundi untuk memilih calon yang terbaik khususnya yang rapat, mesra dan mampu berkhidmat dengan lebih baik dan berkesan kepada seluruh masyarakat di kawasan tanpa ‘double standard’,” tegas Fadillah lagi.