Fadzil Noor tokoh rintis pakatan pembangkang

Fadzil Noor tokoh rintis pakatan pembangkang

Mengenang pemergian bekas Presiden Pas Almarhum Datuk Fadzil Mohd Noor, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Anuar Tahir mengakui Allahyarham merupakan pemimpin dan sahabat yang sukar dicari ganti.

Menurut beliau, Almarhum mempunyai pengalaman yang cukup luas sebelum menyertai Pas lagi dan memiliki gaya kepimpinan yang luar biasa.

“Ustaz Fadzil seorang tokoh yang mempunyai pengalaman yang luas dan mempunyai kepimpinan yang cukup luar biasa. Kepimpinan beliau dapat kita lihat sehingga dapat menyatukan pelbagai kaum.

“Sejak zaman belia lagi, beliau sudah aktif di peringkat belia. Dan saya masih ingat kami sama-sama aktif dalam Majlis Belia Malaysia pada awal tahun 70-an dan pengalaman beliau dalam politik kebeliaan dan pertubuhan Islam amat luas,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Menurut Anuar yang dahulu pernah bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Almarhum merupakan naqib usrah beliau dan hubungan mereka sangat rapat, seperti adik-beradik.

“Hubungan saya dengan beliau sangat intim sekali. Beliau pernah menjadi naqib dan sahabat saya.

“Apabila beliau memutuskan untuk menyertai parti (Pas) secara aktif dan meletakkan jawatan dalam Abim, dan masuk pilihan raya pertama di Bukit Raya, di Pendang memang saya terlibat berkempen pada waktu itu dengan penuh semangat dan harapan yang tinggi walaupun peringkat awal beliau tewas,” ceritanya mengimbau kenangan bersama Allahyarham yang hari ini genap 14 tahun meninggal dunia.

Almarhum menjadi presiden Pas bermula 1989 hingga 2002. Beliau meninggal dunia pada 23 Julai 2002 pada usia 65 tahun dan diganti oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Presiden Pas sebelum beliau ialah Ustaz Yusof Rawa.

Almarhum pernah menjadi ketua pembangkang parlimen selepas pilihan raya umum 1999 ketika zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketokohan, kepetahan serta pendekatan sederhana beliau disegani rakan dan lawan.

Beliau juga antara tokoh gerakan Islam di negara ini yang menjadi pelopor kepada idea kerjasama politik atas nama tahaluf siyasi dengan Semangat 46 membentuk Angkatan Perpaduan Ummah sehingga Pas berjaya memerintah Kelantan pada tahun 1990.

Almarhum juga antara kawan paling rapat kepada Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa dalam Abim.

Anuar juga berkata, walaupun Allahyarham seorang pemimpin yang dikenali ramai, beliau sangat merendah diri dan boleh bergaul dengan semua orang tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

“Saya bangga menjadi sahabat dan murid beliau. Keikhlasan, kesungguhan dan pengorbanan beliau tiada galang ganti. Beliau betul-betul turun ke bawah, bergaul dengan semua orang, rapat dengan semua pekerja parti. Susah nak cari pemimpin macam beliau,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sewaktu menyertai Parti Keadilan Nasional suatu ketika dahulu, Allahyarham banyak memberikan nasihat kepada beliau.

“Sewaktu saya menyertai Parti Keadilan Nasional, orang yang saya minta pandangan ialah Ustaz Fadzil dan beliau memberi nasihat yang banyak dan berguna kepada kami,” katanya lagi.

Sementara itu, anak Allahyarham, Faiz Fadzil menyifatkan bapanya sebagai seorang pemimpin yang melahirkan legasi perjuangan yang mengangkat Islam sebagai rahmat untuk semua.

“Hari ini genap 14 tahun pemergian Almarhum Fadzil Noor. Legasi perjuangannya dalam mengangkat Islam sebagai rahmat dibuktikan dengan kemampuan menyatukan rakyat pelbagai kaum menentang kezaliman di bawah Barisan Alternatif.

“Perintis kepada Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan. Al-Fatihah,” tulisnya di facebook.

Petang ini, satu majlis memperingati Almarhum Ustaz Datuk Fadzil Noor akan diadakan di Taman Aman Fasa 1, Anak Bukit, Kedah.

Majlis anjuran Pakatan Harapan akan bermula jam lima petang dengan ucapan dan pengkisahan, sumbangan fakir miskin, tahlil dan bacaan yasin sebelum berbuka puasa.

COMMENTS

Wordpress (0)