Faekah dan 7 lagi diarah kembalikan RM2.7 juta pampasan

Khalid dan bekas kakitangannya dalam sidang media sebelum ini. Mereka diarahkan membayar balik pampasan yang diberikan.

Lapan bekas pegawai kanan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diarahkan membayar semula wang pampasan sebanyaK RM2,713,590 kepada Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

Mahkamah Rayuan semalam membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memihak kepada lapan individu itu, lapor Selangorkini.

Menurut laporan itu, mahkamah menetapkan kelapan-lapan mereka mengembalikan semula amaun yang dibayar sebagai ‘pampasan’ apabila Abdul Khalid disingkirkan sebagai menteri besar.

Kelapan-lapan mereka adalah bekas setiausaha politik Faekah Husin, bekas Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Rohany Talib, bekas setiausaha akhbar Arfa’eza Abd Aziz, setiausaha politik Mustafa Talib, pegawai penyelaras Rahimah Kamaruddin, pegawai komunikasi khas Dr Sulaiman Masri, pengurus penyelidikan ekonomi Abdul Halim Mohd Yusuf dan pegawai akhbar Tuan Nazuri Ismail.

MBI telah membantah keputusan Khalid memberikan pampasan kepada semua kakitangannya sebanyak RMRM2,713,590 kepada lapan kakitangan lantikan politiknya apabila ditamatkan perkhidmatan apabila berlaku pertukaran menteri besar dari beliau kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

MBI mendakwa keputusan bekas menteri besar memberikan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada lapan bekas pekerja pada hari terakhir beliau sebagai menteri besar tanpa mendapatkan kelulusan lembaga pengarah adalah melanggar prinsip dipegang pengurusan MBI.

Ekoran itu, MBI menyaman ke lapan-lapan mereka dan menuntut balik pampasan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum ini telah menolak permohonan itu namun Mahkamah Rayuan berpihak kepada MBI dalam keputusan semalam.

Peguam bagi mewakili MBI adalah, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Edwin Lim manakala Edmund Bon mewakili Faekah dan rakan-rakannya.

 

 

7.8
OVERALL SCORE
5 user votes x 9.4