Faekah tampil tolak fitnah Anwar tuntut elaun RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor

Oleh BORHAN AHMAD

Bekas pegawai kanan kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Husin menolak fitnah kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tuntutan lebih RM15 juta dari kerajaan negeri walaupun gajinya hanya RM1 setahun.

Dalam penjelasannya Faekah melampirkan jawapan rasmi Tan Sri Khalid ketika menjadi Menteri Besar Selangor bahawa Anwar selaku Penasihat Ekonomi kerajaan negeri hanya menerima gaji RM1 setahun sahaja.

“Penasihat Ekonomi hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun. Gaji tersebut tidak dibayar kepada beliau sejak tarikh perlantikan.

“Beliau tidak dibayar apa-apa elaun atau keistimewaan lain selain gaji RM1 itu,” kata jawapan menteri besar yang dikepilkan oleh Faekah bagi menjawab satu soalan dalam Dewan Negeri Selangor.

Menurut Faekah, beliau menerima poster kitar semula kononnya Anwar membuat tuntutan elaun RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Negeri Selangor walaupun gaji yang dimintanya hanya RM1 sebulan.

Poster ini disebarkan dan dibuat penambahbaikan ekoran janji Anwar mahu memotong gaji perdana menteri jika beliau terpilih memegang jawatan itu selepas PRU-15 ini.

“Sejujurnya pada mulanya saya tidak mahu terlibat dengan propaganda sedemikian dan mahu mendiamkan diri meskipun muka saya terpapar pada poster tersebut dengan tujuan kononnya saya yang mengeluarkan kenyataan.

“Isu tersebut telah dijawab berulang kali namun ianya dipetik dan dikitar semula,” katanya.

Namun atas nasihat keluarga, teman-teman dan atas kesedaran beliau bahawa setidak-setidaknya beliau perlu membetulkan sesuatu fakta yang salah maka beliau menggunakan ruangan ini sebagai usaha pencerahan.

“Seingat saya poster ini dibuat dan diviralkan oleh individu atau mungkin sekumpulan manusia yang tidak dikenali pada tahun 2013/2014 rentetan dari gerakan Langkah Kajang.

“Maksud dan tujuan ianya dilakukan tidak di dalam pengetahuan saya. Saya sendiri tidak pernah membuat kenyataan seperti tertera pada poster,” katanya.

Kesan dari poster ini, katanya, Pejabat MB telah menerima banyak pertanyaan berkaitan gaji dan elaun Penasihat Ekonomi Selangor.

Tidak terkecuali juga pertanyaan yang dikemukakan di DUN Selangor pada ketika itu, katanya.

“Demi memberi keadilan dan melakukan pencerahan saya screen shot dan lampirkan di sini soalan dan jawapan yang dibentangkan oleh Menteri Besar di DUN Selangor pada ketika itu.

“Semoga ianya memberi manfaat,” kata Faekah menerusi facebook beliau hari ini.