Malaysia Dateline

Fahaman Assobiyah akan membawa celaka kepada bangsa, kata Presiden

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata pendekatan ekstremisme perkauman dan agama akan membawa negara ke kancah kehancuran dan kemusnahan.

Malah katanya, amat malang bila kehancuran berpunca dari kegopohan dan kecuaian umat Melayu Islam sendiri yang lalai memilih jalan ekstremisme perkauman.

“Jangan sokong orang bukan Islam sebab mereka akhirnya masuk neraka, orang Islam yang mencuri dan jahat kena sokong sebab akhirnya masuk syurga.

“Akhirnya penyamun yang kita sokong adalah orang Islam. Inilah fahaman yang akan membawa celaka kepada bangsa itu,” katanya diikuti tepukan gemuruh para perwakilan dan pemerhati.

Beliau berkata, fahaman assobiyah pernah lahir dahulu, sehinggakan Muktamar Pas 1986 telah menolak fahaman perkauman sempit dalam agenda perjuangan mereka.

“Sama ada sedar atau tidak pendekatan parti Islam itu mutakhir ini hanya mendedahkan semangat assobiyah dalam seruan perjuangan mereka, ” katanya di hadapan kira-kira 1600 perwakilan dan pemerhati di Konvensyen AMANAH Ke-3 yang sedang berlangsung di Ipoh hari ini.