Fahaman Zakir Naik tidak selari dengan ASWJ,kata ahli agama

Fahaman Zakir Naik tidak selari dengan ASWJ,kata ahli agama

Pengasas dan Pengerusi Pusat Pengajian dan Pendidikan Islam Ar-Rifaie Selangor, Ustaz Ahmad Hafiz Mohd Alwi Al-Bakaniyy berpendapat, pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik  perlu mempelajari fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) yang berteraskan aliran al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah sekiranya beliau mahu berdakwah di negara ini.

Ahmad Hafiz yang juga merupakan Panel Pakar Rujuk Deradikalisasi bagi Kes-Kes Khas Keganasan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihati pendakwah dari India itu, supaya mempelajari sifat 20 yang wajib bagi Allah, kitab Risalatul Tauhid dan juga kitab-kitab akidah yang lain sebelum berdakwah.

Ini kerana katanya, fahaman Zakir Naik dilihat tidak selari dengan akidah ASWJ di negara ini, terutamanya dalam bab ketuhanan seperti yang diceritakan oleh pendakwah tersebut.

“Bab ketuhanan ini sebagai contoh, apabila dia mengisbatkan (menetapkan) bahawa Tuhan itu yakni Allah sama dengan makhluk. Ia sudah menjadi satu kredit kepada Yahudi yang mengatakan Tuhan dia juga adalah Allah yang bersifat triniti.

“Pada tahun 2016 kalau tak silap saya, apabila Zakir Naik datang ke sini (Malaysia), ada orang bertanya, Allah di mana? Dia (Zakir) membawa fahaman yang mengatakan bahawa Allah di Arasy, duduk di atas Arasy.

“Akidah Islam menyatakan Allah ada tanpa tempat. Allah tidak sama dengan makhluk. Kita tidak mahu orang masuk ke dalam agama Islam dan pada masa sama, mereka pula menyekutukan Allah.

“Zakir Naik turut mensyirikkan amalan Tawassul yang merupakan ajaran yang diajar sendiri oleh Nabi Muhammad, para sahabat serta ulama-ulama ASWJ Asyairah & Maturidiyyah dan diamalkan oleh majoriti umat Islam di dunia sehingga kini. Hal ini secara tidak langsung dia telah mensyirikkan majoriti umat Islam,”ujarnya,

Beliau mengulas demikian kepada Malaysia Dateline, ketika ditanya mengenai larangan  berceramah diseluruh negara yang dikenakan ke atas  Dr Zakir Naik  oleh pihak polis  dan berhubung konsep dakwah yang diamalkan pendakwah tersebut..

Dalam pada itu, Ahmad Hafiz  yang berpengalaman sebagai pengkuliah dan penceramah tetap kursus pemantapan akidah, Maktab PDRM Cheras, Kuala Lumpur turut mempersoalkan bagaimana penceramah tersebut boleh membawa orang bukan Islam masuk ke dalam agama Islam, tetapi pada masa sama mensyirikkan umat Islam.

“Beliau (Zakir) juga membid’ahkan (menghukumkan haram) amalan-amalan umat Islam seperti sambutan Maulidur Rasul yang merupakan amalan baik diamalkan oleh seluruh umat Islam di Malaysia khasnya, tahlil dan lain-lain. Ini akan membawa kepada keruntuhan akidah serta perpecahan ummah,” katanya lagi.

Namun, tidak dinafikan ilmu perbandingan agama yang dibawa oleh pendakwah antarabangsa itu, berpotensi membawa imej yang terbaik (positif) terhadap agama Islam, khususnya daripada pandangan masyarakat dunia.

Ahmad Hafiz berkata, ilmu agama yang dimiliki Zakir boleh dikatakan bahawa beliau adalah seorang yang mahir dalam menguasai kitab-kitab agama lain (perbandingan agama), tetapi bukannya dalam bidang akidah.

“Saya tidak tahu secara mendalam tentang ilmu yang ada pada dirinya, tetapi melalui video-video yang orang hantar pada saya, boleh dikatakan beliau mahir dalam menguasai bab perbandingan agama.

“Kami ingin menegaskan, jika beliau berminat ingin duduk di negara kita untuk berdakwah, maka berdakwah lah mengikut metode yang sihat dan selamat iaitu ASWJ salaf, khalaf, Asyairah dan Maturidiyyah yang hakiki,” ujarnya yang merupakan graduan Talaqqi dari Universiti Al-Azhar Mesir dalam Kuliah Usuluddin, Bidang Akidah dan Falsafah.

Ahmad Hafiz secara peribadi turut menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bermuzakarah dengan penceramah tersebut atau anak-anak muridnya secara ilmiah, bagi mendapatkan kata sepakat berkaitan kesatuan akidah dan penyatuan umat.