Pakar perlembagaan dan Pengamal Undang-undang, Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz mahu masyarakat Malaysia menghormati Perlembagaan Persekutuan termasuk kewujudan Kontrak Sosial di dalamnya yang menjadi pertikaian pelbagai pihak.
Jelasnya, Kontrak Sosial adalah satu persefahaman yang dicapai bersama berdasarkan persetujuan semua komuniti yang dimasukkan ke dalam perlembagaan persekutuan.
Dengan itu katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk mentaati perlembagaan tersebut.
“Bagi menjawab kebimbangan yang timbul sama ada wujud atau tidak kontrak sosial ini, kita perlu lihat aspek pembinaan negara dan bangsa.
“Kontrak sosial itu tidak ada definisi yang jelas tapi kita boleh nyatakan bahawa perlembagaan itu diwujudkan atas permuafakatan bangsa atau etnik yang berada di malaysia.
“Sekarang ini sama ada relevan ataupun tidak, kita lihat sama ada perkara yang ada dalam kontrak sosial itu termasuk dalam perlembagaan negara atau pun tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat perbincangan meja bulat bersama 50 Ilmuwan di Pejabat Majlis Profesor Negara, Country Heights hari ini.
Menjelaskan isu Kedudukan Kontrak Sosial dan Melayu dalam Perlembagaan, Shamrahayu berkata, generasi baru bertanggungjawab mentaati perlembagaan yang mana pengisiannya telah dicapai antara permuafakatan dan persetujuan sebelum ini.
“Dari segi istilah itu kita tak pernah interpretasikan apa itu Kontrak Sosial
“Jadi Kontrak Sosial ini diikat dengan perkataan Sosial. Ia bermakna, peraturan yang tak bertulis tapi difahami dan dipersetujui sebab tak mungkin kita akan dapat menulis perlembagaan kalau kita takde persefahaman bersama.
“Maknanya kita akan tulis persefahaman kita dalam perlembagaan setelah kita secara sosialnya bersetuju,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, MPN memandang serius isu-isu berkaitan Kontrak Sosial yang dibangkitkan dan dipolitikan oleh sesetengah pihak.
Katanya, hasil mesyuarat hari ini akan didokumentasikan sebagai kertas cadangan dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam tempoh terdekat.
“Ramai yang tidak faham dengan konteks Kontrak Sosial ini hingga dipolitikkan dan menyebabkan masyarakat keliru. Semua saranan dan cadangan mesyuarat ini akan diserahkan pada Perdana Menteri.
“Turut dibincangkan, adalah isu ucapan Prof Datuk Zainal Kling yang didakwa mengandungi unsur hasutan, namun MPN berpendapat ucapan beliau tidak mengandungi unsur mengapi-apikan ketengangan kaum seperti didakwa sesetengah pihak,” katanya.