Malaysia Dateline

Fahami hubungan manusia dan binatang

Hubungan manusia dan binatang adalah hubungan penerima dan pemberi manfaat. Maksudnya, manusia menerima manfaat daripada binatang sama ada sebagai makanan, penstabil alam, hiburan, terapi jiwa atau selainnya. Memang secara hakiki binatang dicipta untuk manfaat manusia.

Selagi binatang membawa manfaat kepada kehidupan manusia dalam apa jua ruang, berilah perhatian dan layanan wajar kepadanya.

Apa sahaja binatang sama ada binatang kesayangan atau binatang liar, kuncinya ialah membawa manfaat atau manfaat lebih besar daripada mudarat.

Namun sekiranya binatang membawa mudarat, atau membawa manfaat tapi kecil berbanding mudarat seperti merosakkan kebun, membawa bahaya, menyebabkan ketakutan, membawa penyakit, menyusahkan kehidupan, mengganggu tugas-tugas asasi kehidupan, apatah lagi mengancam nyawa, maka semua mudarat itu hendaklah dihilangkan.

Contoh mudah. Seseorang yang membela kucing, dan kucing itu mengganggunya untuk masuk bekerja mengikut waktu yang ditetapkan; atau kucing itu menyebabkan sebahagian besar wangnya habis untuk menyantuni kucing sehingga keperluan asas hidupnya sendiri terabai, atau kucing itu boleh mengganggu hubungan sesama manusia, misalnya hubungan kejiranan, eloklah orang itu mengutamakan hidupnya sendiri dan manusia berbanding kucing.

Hal ini kerana, di bumi ini manusia adalah khalifah. Nyawa manusia lebih bernilai daripada nyawa binatang. Hubungan sesama manusia lebih penting dijaga berbanding hubungan dengan binatang.

Jangan kerana ingin menyelamatkan seekor anak kucing di jalan raya yang sibuk, ada pemandu yang membahayakan diri turun dari kenderaan, masuk ke tengah jalan untuk menyelamatkan anak kucing itu. Pertimbangannya ialah, nyawa sendiri lebih utama daripada nyawa kucing.

Saya pernah membunuh seekor ular hijau kecil yang saya percaya tidak berbisa, kerana saya percaya (zan) jika ular itu tidak dibunuh akan menakutkan keluarga saya atau keluarga jiran saya.

Ular itu saya bunuh, walaupun saya tahu saya boleh memanggil bomba untuk menangkapnya, tapi saya fikir kos yang perlu ditanggung oleh bomba untuk menangkap ular kecil itu elok disalurkan kepada tujuan lain. Dan, ular itu jika dibunuh tidaklah menatijahkan mudarat apa-apa, saya membunuhnya.

Hal ini bukan bermakna kita boleh membunuh binatang sebarangan sebab mereka juga berhak untuk menumpang hidup di bumi Tuhan ini. Jika membunuhnya pula, bukanlah sembrono sehingga menafikan sifat ihsan.

Maksud saya ialah, kita tidak seharusnya memberi fokus kepada kehidupan binatang dan menyantuninya sehingga memudaratkan kehidupan kita sendiri.

Soal tidak tergamak untuk membunuh, itu soal lain. Sama seperti, makanan tidak menjadi haram kerana tekak kita tidak menerimanya.

Justeru, jika binatang mengganggu hidup kita, memudaratkan sumber keperluan asas kita, tidak salah membunuhnya dengan cara yang ihsan.

Jika manusia yang lebih mulia daripada binatang ada ruang untuk dibunuh, takkanlah ruang itu tertutup terus untuk binatang?

Tidak bersetuju dengan pendapat saya, okay saja. Dunia ini bukankah berwarna-warni?