Aktivis, Fahmi Reza mengakui beliau lebih cepat menerima amaran daripada pentadbir TikTok – media sosial paling digemari remaja – ekoran kandungan yang dimuatnaik.
“Baru join Tiktok, terus terima warning. Cepat betul mereka buat kerja. Bila aku upload content sama di Facebook, Twitter dan Instagram tak kena warning pun,” ciapnya di Twitter baru-baru ini.
Fahmi, 45, turut memberitahu video poster Najib dapat jari tengah juga dikeluarkan dari TiTok yang pereka grafik itu yakin kerana “kena report dengan macai dan penyokong Mat Sakau”.
Menurut Fahmi, alasan pihak TikTok menyekat video poster Najib dapat jari tengah kerana gangguan dan buli.
Satu lagi video sarkastik yang juga dikeluarkan dari platform itu, kata Fahmi, adalah kerana berkaitan aktiviti seksual.
Tindakan pantas di aplikasi TikTok seperti dialami Fahmi itu berlaku ketika kebanyakan remaja pada masa ini dilihat lebih aktif di platform media sosial tersebut.
Cabaran dialami Fahmi untuk meluaskan ‘karya’ beliau di TikTok juga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bila-bila masa akan diadakan dengan pertambahan 3.8 juta pengundi berusia 18 tahun.
Segmen pengundi terbabit antara 7.8 juta pengundi baharu pada PRU-15 iaitu 34 peratus daripada keseluruhan pengundi.
Baca juga Ratusan penceramah, ilmuan terobos TikTok, biar semuanya berpahala