Fahmi Fadzil minta SKMM dan telco bincang turun harga perkhidmatan telekomunikasi

Oleh KIM SYAZIE

Bagi memenuhi aspirasi rakyat yang mahukan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat telco bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telco melakukan kajian berkaitan perkara berkenaan.

“Saya sedang bincang dengan SKMM dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.

“Mungkin dalam minggu yang akan datang saya ada pengumuman khas,” katanya.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi slot program ALFA yang bersiaran di Facebook Nasional FM, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Che Roslan Che Daud.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, beliau juga sedang meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G yang dihadapi di sesetengah kawasan di negara ini.

“Kita sedang bercakap tentang 5G, ada negara lain dah mula bincang tentang 6G. Jadi kita kena ada pergerakan yang lebih cepat dan sebagai menteri saya kena teliti apa yang boleh dilakukan untuk bantu proses itu,” katanya lagi.

Sementara itu, Fahmi turut mengingatkan penghasil kandungan atau content creator di pelbagai platform sosial media agar menghormati undang-undang negara ini ketika berkarya.

“Ada batas-batasnya. Kita raikan hak untuk bersuara, raikan hak untuk berekspresi tapi kita perlu hormat undang-undang kerana ada di dalam Rukun Negara…Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang,” ujarnya.

Baca Juga: Wan Azizah kongsi kisah pernah dicemuh masyarakat, dipanggil isteri banduan ketika berkempen, ‘tapi tak apa saya redha’

Baca Juga: Niat nak selamatkan wanita pengsan jadi terbantut, rupa-rupanya bukan manusia tapi patung