Pelakon terkenal, Jasmine Suraya akhirnya bersuara untuk menjelaskan salah faham berhubung pembiayaan pengajiannya di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Jasmine menafikan laporan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberikan dana bagi menanggung pengajiannya di luar negara.
Sebaliknya, kesemua perbelanjaan membabitkan pengajiannya di sana nanti bakal ditampung oleh wang simpanan yang dikumpul sendiri pelakon berusia 34 tahun itu.
Jasmine turut menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan Menteri Komunikasi sebelum ini telah disalah tafsir oleh pihak tertentu sehingga mencetus spekulasi lain.
“Kenyataan yang mengatakan bahawa kerajaan memberikan dana kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah tidak benar sama sekali.
“Untuk pengetahuan semua pihak, seluruh pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuklah perbelanjaan harian di sana sepenuhnya di bawah tanggungan saya sendiri.
“Kenyataan dikeluarkan sebelum ini telah disalah erti dan membuka ruang kepada pelbagai andaian yang jauh dari konteks sebenar. Fahmi Fadzil tidak pernah sesekali bersetuju untuk memberikan dana atau bayaran,” katanya.
Pemilik nama sebenar Jasmine Suraya Chin Xian Mei itu turut menjelaskan kenyataan sebenar Fahmi iaitu pihaknya akan meneliti isu dana buat anak seni bukan bantuan buat pengajiannya.
Pelakon berusia 35 tahun itu turut menafikan dirinya pernah memohon dana secara terus daripada pihak kerajaan atau badan lain yang tiada kaitan dengan bidang seni.
“Saya mengakui ada mencuba memohon dana (dari badan berkaitan bidang seni) dan menghantar kertas cadangan berkenaan idea bagaimana untuk membangunkan lagi industri tempatan.
“Namun saya tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan (untuk menampung belanja pengajian) kerana saya sudah membuat persiapan dari segi kewangan sejak awal lagi.
“Ingin saya tegaskan, saya tidak pernah memohon dana secara terus kepada pihak kerajaan atau badan-badan lain yang tiada kaitan dengan bidang seni di Malaysia.” Jelasnya.
Terdahulu, Jasmine mendedahkan bahawa dirinya memerlukan wang sebanyak RM400,000 bagi melanjutkan pelajaran di Institut Perfileman dan Teater Lee Starsbeg, Los Angeles.
Baca juga: Baju Melayu moden tunjuk ‘asam keping’, Hun Haqeem anggap rekaan baju dah hilang identiti