Malaysia Dateline

Fahmi fail saman ke atas SKMM, Nuemera bocor 42.2juta data pengguna

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil telah memfailkan satu saman sivil terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Nuemera (M) Sdn Bhd, berkait kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia yang dipercayai berlaku sekitar 2014.

Saman sivil yang difailkan semalam itu,berdasarkan kegagalan mereka menjamin keselamatan maklumat peribadi rakyat Malaysia.

Dalam era teknologi maklumat sekarang, di mana keselamatan maklumat peribadi menjadi asas pelbagai interaksi dan transaksi harian kita, umum perlu percaya dan yakin bahawa institusi-institusi dan pihak-pihak yang diamanahkan menjaga maklumat peribadi kita bertanggungjawab ke atas amanah itu. Maka semestinya kejadian kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Mengapa pihak berkuasa khususnya SKMM yang bertanggungjawab dalam hal ini, serta syarikat Nuemera yang menerima kontrak kerajaan dan diamanahkan mengendali sistem penyahaktifan telefon bimbit PCBS, tidak memaklumkan orang ramai terutama pengguna yang terkesan tentang kejadian ini?

“Hingga ke hari ini, kita tidak diberi penjelasan sebenar bagaimana kecurian ini berlaku. Tambahan pula kita hanya mengetahui tentang kejadian ini 3 tahun selepas ia dipercayai berlaku, dan hingga kini belum ada sebarang tangkapan atau pendakwaan yang dilakukan berkait isu ini,” ujarnya dalam kenyataan.

Menurut Fahmi lagi, sudah pasti ada pihak yang mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat besar ini.

“Tetapi nampaknya sehingga kini semuanya masih berjalan seperti biasa, atau “business as usual”.

“Ini tidak adil kepada semua pengguna syarikat telekomunikasi yang terkesan, di mana maklumat peribadi kami kini terpampang dan tersebar di internet. Ia boleh dimuat turun dan disalah guna pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab!

“Pada ketika begitu ramai ahli politik pembangkang dan orang awam diserbu, ditangkap dan didakwa kerana membuat posting di laman media sosial mengkritik pemimpin politik negara, kegagalan pihak berkuasa memberi jawapan atau mengambil tanggungjawab akibat skandal besar ini amat mendukacitakan.

“Oleh sebab-sebab ini, sebagai salah seorang pengguna perkhidmatan telekomunikasi yang terkesan, dan memandangkan isu ini bersifat berkepentingan awam (“public interest”), saya telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SKMM dan Nuemera atas kegagalan mereka menjamin keselamatan maklumat peribadi kita.

“Saya percaya kita semua mahu tahu bagaimana kecurian maklumat peribadi ini boleh terjadi. Saya juga percaya kita semua mahu tahu apakah langkah-langkah yang akan atau telah diambil pihak berkuasa untuk menyelamatkan keadaan.

“Saya berharap, melalui tindakan saman sivil ini, persoalan-persoalan ini akan dapat dijawab, beberapa perkara mendapat pencerahan, dan langkah-langkah memperbaiki keadaan dapat diambil demi keadilan buat semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

Malaysia mula didedahkan dengan kebocoran data besar-besaran pada 19 Oktober tahun lalu, yang dilaporkan oleh lowyat.net.

Kebocoran itu didakwa berlaku antara 2012 dan 2015, menjejaskan Jobstreet.com, Persatuan Perubatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, Persatuan Pergigian Malaysia, Pendaftar Pengamal Perubatan Malaysia dan syarikat telekomunikasi termasuk Maxis, Celcom dan DiGi.

Polis menjejak alamat IP di Oman dan berkata kebocoran itu mungkin berlaku ketika pemindahan data dan membabitkan pekerja syarikat berkenaan.