Malaysia Dateline

Fahmi nafi sebar mesej Anwar menghadap Agong

Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menafikan beliau menyebarkan maklumat kononnya Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Istana Negara pagi tadi, untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini, Ahmad Fahmi berkata penyebaran mesej itu di media sosial sejak pagi tadi adalah palsu dan berniat menjatuhkan dirinya.

“Saya ingin mengesahkan saya tidak menyebarkan perkara itu, ini taktik jelik, kotor dan tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi berkata beliau akan membuat laporan polis kerana namanya digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan bersifat politik.

Pagi tadi tular mesej di WhatsApp berbunyi: “Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengesahkan Anwar sekarang berada di Istana Negara untuk bertemu dengan YDP. Minta Rakan Rakan media berada di hadapan Istana untuk siaran.”

Sementara itu, Anwar dilihat berada di Parlimen sejak pagi tadi bagi menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

Beliau tiba kira-kira 9.50 pagi, sekali gus mengesahkan bahawa mesej yang tular itu adalah palsu.

— BERNAMA