Fahmi Redza tidak serik direman, akan terus mengkritik

Oleh Oleh MALAYSIA DATELINE

Selepas dibebaskan dari direman selama sehari, artis Fahmi Redza berazam untuk terus berkarya dan tidak akan berhenti membuat sindiran di media sosial.

Bahkan, katanya, beliau bersedia dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina institusi diraja selain tidak akan berhenti menghasilkan seni mengkritik penguasa.

“Sebagai artis grafik yang membuat banyak satira politik atas nama seni, saya tak akan berhenti membuat grafik yang mengkritik penguasa,” tegasnya kepada wartawan hari ini setelah dibebaskan dari balai polis Dang Wangi jam 6 petang semalam.

Dia ditangkap malam tadi dirumahnya dan dibawa ke balai polis di Kuala Lumpur di mana polis diberi perintah reman sehari oleh majistret walaupun memohon untuk mereman Fahmi selama empat hari.

Fahmi disiasat di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia berkaitan hantaran yang berkongsikan senarai Spotify miliknya yang diisi dengan lagu-lagu bertema cemburu merujuk pada komen “Dengki ke?” oleh Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di akaun Instagramnya minggu lalu.

“Hantaran dan senarai lagu Spotify saya tidak akan dipadam dan saya bersedia menghadapi sebarang tuduhan yang akan dikenakan terhadap saya di mahkamah.

“Penguasa boleh cuba tangkap atau dakwa saya berkali-kali tapi saya tak akan menyerah atau padam sebarang hantaran saya,” tegas Fahmi setelah dibebaskan.

Gambar Raja Permaisuri diletak sebagai gambar utama dalam senarai lagu Spotify Fahmi dan dikongsikan oleh artis grafik itu dalam media sosialnya.

Tindakannya itu dipercayai merujuk kepada jawapan “Dengki ke” Raja Permaisuri dalam komen Instagram yang bertanya apakah cef di istana juga mendapat suntikan vaksin tanpa ikut giliran seperti keluarga diraja yang lain, berdasarkan laporan Asia Sentinel.

Susulan itu, pengguna media sosial mula menggunakan tanda pagar #dengkike yang kemudian trending di media sosial.

Ahli Parlimen Pasir Mas yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhil Shaari antara yang membuat laporan polis terhadap Fahmi, dengan tuduhan dia telah menghina monarki.

Selain Fahmi, turut dibuat laporan polis adalah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kenyataannya bahawa rakyat mula marah kepada Istana ekoran proklamasi darurat walaupun ia bukan kebiasaan bagi rakyat negara ini.

Kenyataan itu dibuat selepas beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Rayuan Menamatkan Darurat, Khalid Abdul Samad menyerahkan surat kepada Istana Negara  untuk bertemu dengan Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan rayuan agar darurat ditamatkan.