Malaysia Dateline

Fahmi Reza ditahan di IPD Dang Wangi

Aktivis dan pereka bentuk bebas Fahmi Reza kini ditahan di IPD Dang Wangi berhubung dengan hantaran dibuat aktivis terbabit mengenai Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan tangkapan ke atas Fahmi.

Peguam Fahmi, Yohendra Nadarajan, berkata tangkapan dibuat kira-kira jam 7 petang semalam dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Permohonan reman Fahmi akan akan dibuat di IPD Dang Wangi jam 10 pagi ini.

Yohendra berkata tujuh anggota polis pergi ke rumah Fahmi untuk membuat tangkapan berkenaan.

Menurut beliau, polis memecahkan pintu rumah tersebut selepas Fahmi enggan membukanya kerana mahu menunggu peguam sampai terlebih dahulu.

Pintu rumah Fahmi dipecah

“Apabila saya sampai, polis memecahkan pintu rumah untuk menangkap Fahmi,” katanya dipetik Malaysiakini.

Pada 21 April lepas, Fahmi memuatnaik satu hantaran berupa senarai 100 lagu dengan tajuk “This Is Dengki Ke” di mana kesemua lagu tersebut berkisar kepada tajuk ‘dengki’.

Senarai lagu itu turut dimuat naik di laman ‘spotify’ di mana hantaran itu mendapat 4.5k tanda suka dan 868 perkongsian.

Senarai lagu itu difahamkan merupakan satu satira yang ditujukan kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah setelah tandapagar #dengkike tular dan sohor kini di Twitter.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membuat satu laporan polis terhadap akaun Fahmi Reza yang menurutnya ‘menghina institusi beraja khususnya Raja Permaisuri Agong”.

“Saya sebenarnya sudah lama memantau individu ini yang nampaknya semakin kurang ajar dengan berselindung di sebalik karya seni. Kali ini saya harap beliau boleh diberikan pengajaran yang setimpal,” kata Ahmad Fadhli.