Malaysia Dateline

Fahmi sahkan penjualan Menara KL, sedia bantu siasatan

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil mengesahkan saham syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur telah dijual oleh TM Malaysia (TM) kepada sebuah syarikat yang hampir ditutup bernama Hydroshoppe Sdn Bhd.

“KKD memantau rapat isu ini dan bersedia untuk memberikan kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung isu ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menyatakan bahawa konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur sementara berkuatkuasa sehingga 31 Disember tahun ini. Ia adalah tempoh sementara yang ketiga.

Beliau turut menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL pada 14 Disember 2022 dan bakal menerima maklumat lanjut mengenai perkara ini pada 3 Januari daripada Telekom Malaysia.

Ini ekoran daripada tularnya berita mengenai pengambilalihan pengurusan Menara KL dari Telekom Malaysia dan kini diuruskan oleh syarikat kosmetik bertaraf PN 17 – Hydroshoppe Sdn Bhd.

Berita yang tular itu turut menyatakan bahawa keakraban pengarah syarikat Hydroshoppe, Nazarina Mohamed Nasir dengan mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa membolehkannya mendapatkan kontrak tersebut.

Dalam pada itu Annuar menafikan pembabitannya dalam perkara di atas memandangkan perkara tersebut membabitkan dua buah syarikat dan bukannya syarikat dengan kerajaan.

BACA JUGA Pemilik Menara KL syarikat kosmetik di ambang kemuflisan?