Fairuz Misran meninggal dunia, tiada lagi ‘klon’ P. Ramlee

Oleh MAISARAH AISYA

Sering muat naik video di media sosial dengan gaya nyanyian seperti bintang legenda negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Fairuz Misran dilaporkan meninggal dunia.

Berita duka tersebut dimaklumkan sendiri adiknya, Sazlieyanti Misran menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.

“Innalillahiwainnahirojiun. Menerima perkhabaran sedih bahawa abang yang disayangi, Fairuz Misran telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi (Jumaat).

“Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.

“Semoga rohnya dicucuri Rahmat dah diletakkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulisnya di Facebook.

Menerusi hantaran berbeza, Syazlieyanti menjelaskan abangnya yang berusia 38 tahun itu hanya mengalami sakit dada dan pengsan sebelum dikejarkan ke sebuah hospital di Labuan.

“Alhamdulillah arwah pergi dengan senang. Hanya sakit dada dan pengsan lalu dibawa ke hospital.

“Sesampai sahaja di hospital, dikhabarkan arwah sudah tiada. Di hari Jumaat yang mulia ini, hari yang dicemburui oleh semua orang.

“Jenazah masih berada di Labuan. Keluarga masih berbincang sama ada mahu dikebumikan di Labuan (kampung isterinya) atau di Kimanis, Papar, Sabah (kampung kelahiran arwah). Semoga segala urusan arwah dipermudahkan,” ujarnya.

Anak kelahiran sandakan itu berjaya menarik perhatian ramai selepas berjaya menjuarai pertandingan bintang P.Ramlee peringkat kebangsaan pada tahun 2012.

Kebanyakan warganet akui suaranya dan rupanya berjaya melepaskan rindu buat bintang ternama, P.Ramlee.

Malah ramai tidak sabar menunggu siaran langsungnya, kini tiada lagi semua, yang tinggal hanya nama dan ‘content’ di media sosial.

Baca juga: Baru berusia 18 tahun anak gadis dah dituduh jadi penyondol, ini respon Abby Abadi