Malaysia Dateline

Faiz bantu golongan marhaen bersiap sambut Aidil Fitri

Menjelang Aidilfitri yang akan menjelang beberapa hari lagi, Adun AMANAH bagi Dun Permatang Pasir, Faiz Fadzil meningkatkan lagi usaha peduli insan kepada golongan marhaen dan yang memerlukan.

Menurut Faiz, gerak kerja peduli insan dipergiat dan dipertingkatkan lagi melalui percambahan sumbangan bagi meringankan beban golongan terbabit.

“Sumbangan yang diberikan ditambah lagi bagi kawasan Dun Permatang Pasir dengan sumbangan barangan keperluan dapur bagi Kampung Kepala Bukit, Pengkalan Tambang, Permatang Tengah dan juga Permatang Pauh.

“Selain itu nasib peniaga yang telah lama terputus mata pencarian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut diberi perhatian dengan menyalurkan sumbangan seperti kerusi dan meja.

“Membantu membaiki bumbung rumah penduduk serta menyumbangkan kuih raya kepada petugas penyelenggaraan Majlis Bandaraya Seberang Perai turut dilaksanakan bagi menghargai penat lelah serta keringat yang mereka curahkan walaupun terpaksa berhadapan dengan penularan wabak Covid-19,tatkala ini, ” ujarnya.

Sejajar dengan itu tambah beliau dalam tempoh beberapa hari menjelang lebaran, usaha akan dipertingkatkan bagi memastikan nasib banyak golongan yang memerlukan mendapat perhatian khususnya bagi kawasan Dun Permatang Pasir.