Malaysia Dateline

Faiz tekad jadikan Tampin sebagai Lembah Makanan

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Tampin, Faiz Fadzil bertekad untuk menjadikan kawasan itu sebagai Lembah Makanan.

Beliau berazam memperkasakan ekonomi penduduk tempatan berasaskan pertanian memandangkan Tampin kaya dengan potensi terutama dalam sektor tersebut.

Sehubungan itu, beliau berpendapat Tampin perlu menjadi salah satu hub terpenting negara untuk membekalkan makanan ke seluruh Malaysia.

“Malah, kerajaan Negeri Sembilan pimpinan Pakatan Harapan telah pun memulakan usaha untuk mentransformasikan Tampin sebagai Lembah Makanan,” katanya.

“Jika saya diberi mandat sebagai Ahli Parlimen Tampin untuk 5 tahun akan datang, saya bertekad memperjuangkan Tampin sebagai Lembah Makanan atau Food Valley,” katanya.

Faiz menjelaskan bahawa pengusaha pertanian tempatan akan dijadikan “anchor” utama dalam usaha tersebut.

Menurutnya, petani dan peladang akan dibantu dan dibimbing dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan untuk meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman mereka.

“Pembangunan tanah-tanah terbiar termasuk tanah di dalam daerah Tampin termasuklah NFC harus dibangunkan oleh penduduk Tampin.

“Ini bagi memastikan projek-projek pertanian dapat berjalan dengan berkesan dan membantu usaha membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan terutamanya kepada golongan muda.

“Dengan adanya usaha ini, saya yakin golongan muda akan berminat menceburi bidang pertanian sebagai sumber pendapatan negara.

“Apatah lagi, usaha ini akan memberikan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada warga Felda terutama generasi kedua dan ketiga,” tambah Faiz lagi.

Baca juga Raja-raja Melayu dicadang tolak individu sabitan fitnah di mahkamah jadi menteri kabinet

Baca juga PRU-15: Fahmi Fadzil tekad tidak ambil gaji jika dilantik dalam Kabinet