Malaysia Dateline

Faiz komited dekati golongan belia, penting untuk hala tuju negara

Golongan anak muda dilihat menjadi kumpulan sasaran yang penting dalam menentukan hala tuju negara kerana sesebuah tanah air dibina untuk masa depan.

Menyedari kepentingan tersebut, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Muhammad Faiz Fadzil komited untuk terus mendekati golongan muda di negara ini.

Sebagai contoh, beliau berkata pihaknya mahu melaksanakan dasar-dasar integriti dalam urus tadbir bagi memastikan masa depan negara dapat dibina dalam keadaan bersih, sekali gus memastikan wang negara diuruskan dengan baik untuk rakyat dan juga kemajuan negara.

“Jadi, saya memerlukan sokongan daripada golongan muda untuk bersama-sama dengan perjuangan ini supaya masa depan negara ini tidak dicorakkan oleh mereka-mereka yang telah terpalit dengan korupsi dan juga ketidakmampuan mentadbir negara.

“Di sini, golongan muda perlu memainkan peranan dalam menentukan hala tuju negara. Jika kerajaan pintu belakang ini dibiarkan berlalu tanpa ada protes dan juga bantahan daripada golongan muda, maka hala tuju negara ini terletak kepada mereka yang korup.

“Kerajaan pintu belakang ini bukan sahaja korup dalam urusan kewangan dan urus tadbir negara, malah tidak menghormati keluhuran Perlembagaan kerana mereka membantu kerajaan tanpa menghormati mandat rakyat,” bidasnya.

Adun Permatang Pasir itu mengulas demikian ketika ditanya tentang seruan beliau mengajak anak muda untuk bangkit menolak kerajaan pintu belakang sejak protes yang diadakan di pekarangan kompleks beli-belah Sogo pada 1 Mac lalu.

Muhammad Faiz yang sebelum ini pernah memegang jawatan Timbalan Pemuda AMANAH Nasional berkata, sebagai golongan muda untuk membentuk masa depan negara yang lebih baik, makmur, maju, bertamadun, dan lebih demokratik, kerajaan pintu belakang ini tidak boleh dibiarkan.

“Sebab itulah dalam hala tuju politik saya, saya meletakkan golongan muda sebagai kumpulan yang perlu dibentuk, sekali gus memperoleh sokongan daripada mereka.

“Apa yang dibuat oleh bekas Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain tempoh hari, tidak melunturkan gerak kerja dan semangat saya dalam politik untuk terus mendampingi orang muda.

“Ini kerana, kami dalam parti AMANAH tidak hanya bergantung kepada sayap pemuda untuk mendekati golongan belia. Pimpinan tertinggi AMANAH juga perlu mendekati orang muda.

“Pimpinan tertinggi AMANAH perlu melihat kepada keperluan orang muda, hala tuju, masa depan dan hak orang muda. Ia perlu ditunjukkan oleh AMANAH sebagai parti yang relevan pada masa kini dan masa depan,” ujarnya lagi.

Susulan Hasnul yang mengisytiharkan keluar daripada parti AMANAH dan menjadi Adun Bebas, Faiz menyifatkan tindakan Adun Titi Serong itu tidak sedikit pun mencalarkan aspirasi AMANAH untuk terus mendampingi orang muda, dan juga menjuarai isu-isu belia.