Malaysia Dateline

Faiz prihatin terhadap nasib anak-anak Rohingya

Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mewakili penduduk dalam kawasan Dun Permatang Pasir, tumpuan bukan sahaja diberikan kepada masyarakat Melayu, Cina, India dan sebagainya.

Tetapi membela nasib semua golongan masyarakat yang berada dalam kawasan Dun yang diwakili tetap menjadi keutamaan kepada Faiz Fadzil sebagai Adun Permatang Pasir.

Malah dalam kesibukan beliau sebagai wakil rakyat dan juga pengamal undang-undang, ia tetap memberi perhatian setiap aduan dan keluhan yang diterima.

Yang terbaru, Faiz turut turun padang bagi menemui anak-anak Rohingya yang sedang mendapat pendidikan di Rohingya Education Centre (REC), Taman Arowana, Permatang Pauh dalam ‘Program Galakan Membaca’

“Dengan turun padang ia bukan saja dapat mendekati para pelajar dan para pendidik, tetapi juga untuk mendapat makluman mengenai REC yang berada dalam kawasan Dun Permatang Pasir.

“Setidak-tidaknya ia telah membuktikan bahawa kita sebagai kerajaan tetap memberi perhatian terhadap semua golongan masyarakat.

“Begitu juga dengan anak-anak Rohingya yang sedang mendapat pendidikan di REC juga diberi perhatian, ” tegasnya.

Buat masa ini seramai 320 pelajar termasuk diperingkat sekolah rendah dan menengah sedang mendapat pendidikan di REC tersebut.

Manakala tenaga pengajarnya pula adalah seramai 13 orang.

REC sering mendapat kunjungan dari pelbagai organisasi bagi memberi bantuan dan sokongan dari pelbagai ceruk.

Ia bukan saja merangkumi pertubuhan bukan kerajaan, tetapi juga parti politik, individu dan seumpamanya.

Faiz bersama pelajar dan tenaga pengajar semasa melawat pelajar-pelajar tersebut di Taman Arowana, Permatang Pauh.