Malaysia Dateline

Faiz santuni peniaga kecil terkesan teruk akibat PKP

Sebagai wakil rakyat yang peduli terhadap masalah yang sedang dihadapi golongan memerlukan, keluhan demi keluhan yang diterima dan didengari tetap menjadi perhatian Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Terkini beliau segera turun padang dengan mengadakan pertemuan bersama peniaga-peniaga kecil tidak berlesen yang telah pun dikenal pasti melalui bancian dan siasatan di lapangan dalam kawasan Dun Permatang Pasir.

Menurut Faiz, kebanyakan mereka adalah peniaga makanan seperti nasi lemak, laksa, keropok, air kelapa, cendol dan kuih-muih.

“Maklum balas yang diterima majoriti daripada mereka adalah berkaitan permohonan lesen perniagaan dari Majlis Bandaraya Seberang Perai atau MBSP.

” Lesen ini penting bagi pengurusan kerajaan tempatan dan bantuan kerajaan kepada golongan peniaga kecil tersebut termasuklah Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang 2.0 dimana peniaga kecil mendapat bantuan sebanyak RM500.

” Namun begitu, sehingga kini golongan peniaga tersebut tidak mendapat kemudahan tersebut setelah tidak mempunyai lesen dan mereka diberi kesedaran supaya memperolehi lesen yang diperlukan bagi menerima bantuan yang telah disediakan kerajaan negeri Pulau Pinang, ” jelas beliau.

Selain itu kata Faiz, antara keluhan peniaga kecil yang seharusnya didengari oleh kerajaan ialah hasil jualan yang merosot teruk dan poket mereka semakin kosong kerana tiada pembeli.

Prihatin terhadap pelbagai aduan yang diterima, Faiz berusaha sedaya mungkin dengan pelbagai cara dan turun padang dengan segera bagi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada peniaga-peniaga kecil tidak berlesen yang terjejas teruk hari ini.