Malaysia Dateline

Faizal Azumu lebih selamat jika bersama PH, kata Pemuda AMANAH Perak

“Sekiranya Datuk Seri Ahmad Faizal bersama Pakatan Harapan, di mana beliau mendapat kedudukan yang tidak terancam langsung.”

Demikian pendapat Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim susulan krisis politik yang turut melanda negeri itu.

Katanya, Faizal Azumu boleh mengekalkan seluruh lantikan politik dan anak-anak buahnya daripada Bersatu di peringkat bawah.

Khairol Najib Hashim
Khairol Najib Hashim

“Seandainya masalah dalam parti menjadi punca beliau berpaling tadah, sehingga kini beliau masih mempunyai sahabat yang setia mempertahankan beliau dari awal pelantikannya sebagai Menteri Besar terutamanya dalam kalangan AMANAH iaitu YB Datuk Asmuni Awi dan YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

“Malah YB Howard Lee, Ketua DAPSY Malaysia, YB Paul Yong dan YB Sivanesan daripada DAP juga antara yang sentiasa melihat Faizal sebagai Menteri Besar yang boleh dibawa berbincang.

“Justeru, dalam hal ini, Faizal tidak mempunyai sebab untuk mengambil keputusan berbeza dengan sahabat karibnya YB Dato’ Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Beliau boleh sahaja menjadikan kebijaksanaan Mukhriz sebagai panduan dengan mengekekalkan untuk bekerjasama dalam PH, meneruskan mandat rakyat.

“Melainkan, beliau melihat tawaran kedudukan atau jawatan yang lebih memukau daripada bos barunya dan melupakan semua penyokong-penyokongnya di Perak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairol Najib menambah, pada hari ini sudah mula kedengaran permintaan daripada sayap Puteri Umno Perak yang menuntut agar kerusi Menteri Besar diberikan kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad. Permintaan sama dizahirkan oleh semua Ketua Bahagian Umno.

“Melihat kepada situasi ini, tuntutan tersebut adalah berasas memandangkan Umno mempunyai kerusi terbanyak dalam gabungan itu, dan Bersatu hanya mempunyai dua kerusi.

“Situasi ini sebenarnya tidak memberi apa-apa manfaat kepada Bersatu apatah lagi sebagai sebuah parti baharu Faizal memerlukan kedudukan yang berpengaruh untuk memperkembangkan partinya.

“Dalam hal ini, Bersatu sudah semestinya perlu mengalah atas kedudukannya sebagai parti yang kecil dan mempunyai wakil paling sedikit dalam Dewan Undangan Negeri.

“Bersatu bukan sahaja perlu bersaing bersama Umno tetapi juga Pas yang mempunyai nafsu politik tidak kurang hebatnya dengan Umno,” katanya lagi.

Khairol berkata beliau dengan sepenuh hati yang ikhlas menyampaikan pendapat kepada Faizal, kembalilah kepada Tun Mahathir dan Mukhriz, bekerjasama bersama PH.

“Sekali gus dapat meredakan semula kekalutan yang berlaku di negeri ini dan meneruskan agenda yang dibina bersama PH untuk kita laksanakan janji-janji kita kepada rakyat,” ujarnya.