Malaysia Dateline

Fakta dan sejarah buktikan pelbagai kaum perjuangkan kemerdekaan negara

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar atas) berkata, komen-komen yang dibuat di Konvensyen Kebangkitan Ummah 2018 yang diadakan baru-baru ini adalah amat malang, bertentangan dengan semangat Malaysia dan tidak selari dengan Islam.

“Sesiapa sahaja yang tahu sedikit tentang sejarah Malaysia tahu bahawa rakyat pelbagai kaum memperjuangkan dan mati untuk kemerdekaan negara.

“Pada masa yang sama, tidak adil untuk biasiswa dihadkan hanya untuk pelajar-pelajar satu kaum atau agama,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Kata beliau, masalah yang dihadapi masyarakat Bumiputera bukan kerana adanya golongan bukan Bumiputera, tetapi kerana pentadbiran yang lemah, kesilapan tadbir urus dan kepimpinan yang mementingkan diri sendiri.

“Jangan kita lupa Bumiputera Sabah dan Sarawak, yang mana ramai adalah bukan Islam di samping masyarakat Orang Asli.

“Pemikiran yang memecahbelahkan dan bersifat perkauman tidak akan mengangkat martabat masyarakat kita. Islam sentiasa mengajar kita tentang berlaku adil dan menunjukkan rahmat kepada semua masyarakat,” kata Ketua Angkatan Muda PKR itu.

Menurut beliau, semua rakyat Malaysia patut menolak aliran pemikiran berbahaya yang dibawa oleh konvensyen tersebut.

Hal yang sama turut mendapat kecaman daripada Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) yang menyifatkan pengerusi konvensyen tersebut sebagai buta fakta dan sejarah tentang peranan orang bukan Islam dan Melayu dalam mempertahankan negara ini.