Malaysia Dateline

Fakta politik Malaysia: Lebih banyak gabungan, lebih cerah menang pilihan raya

Menjelangnya pilihan raya umum (PRU) yang akan datang, pelbagai faktor kemenangan harus diambil kira dan tidak harus dipandang enteng terutama tentang filosofi ‘meramaikan kawan’.

Bagaimanapun melihat kepada politik di Semenanjung, pemain politik yang aktif dan relevan kini tidak begitu banyak walaupun wujud puluhan parti yang lain, tidak termasuk AMANAH, PKR, DAP, Umno, Bersatu, Pas, Pejuang mahu pun Muda yang mempunyai impak kepada politik semasa. 

Menurut Naib Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, sekiranya berlaku penjajaran politik baru iaitu gabungan baru ataupun khemah baru, maka ianya akan hanya berkisar antara parti-parti tersebut. 

 “Faktanya bagi politik demokrasi Malaysia, apabila adanya lebih banyak gabungan mahu pun khemah, maka akan lebih cerah peluang kemenangan dalam pilihan raya. ‘The more the merrier’. Maka filosofi ‘ramaikan kawan’ tetap signifikan dalam konteks demokrasi pilihan raya. 

“Bagi parti-parti politik, mereka menggelar antara satu sama lain membawa maksud juga bahawa mereka sahajalah yang berpegang kepada prinsip dan merekalah yang ‘betul dan suci’.

“Namun bagi rakyat atau pengundi, gelaran-gelaran sedemikian tidak terkesan. Mereka yang bergelar penyamun tetap menang dalam pilihan raya dan yang bergelar ‘pengkhianat’ sekalipun tetap juga akan menang. 

“Harus disedari, meskipun ramai pengundi yang merasa mual, mereka tetap terpaksa membuat pilihan walaupun parti yang bertanding adalah parti yang bergelar penyamun, pengkhianat mahu pun yang digelar khadam parti kafir,” ujar beliau ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Tambah beliau, seandainya mana-mana parti mahu menang pilihan raya, mereka harus berfikir seperti mana yang difikirkan oleh rakyat kerana sejarah pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini memperlihatkan bahawa parti penyamun dan pengkhianat tetap menang dalam beberapa siri PRK dan juga PRN. 

Baca juga: Ikut tips ini untuk lembutkan daging raya korban, tak perlu pun guna air!

Baca juga: Wanita disyaki hina Islam direman hingga esok