Malaysia Dateline

Faktor etnik, calon tempatan diutamakan tandingi parti lawan

Bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) merampas Parlimen Kuala Selangor faktor ‘boleh menang’ calon tempatan dan etniknya perlu diambil kira di kawasan yang ditandingi pihak lawan.

Sehingga suku tahun kedua 2017, kawasan Parlimen Kuala Selangor mempunyai 71,411 pengundi dengan tiga Dun iaitu N10 Bukit Melawati (18,114 pengundi), N11 Ijok (20,053) dan N12 Jeram (33,244).

Parlimen Kuala Selangor mempunyai majoriti pengundi Melayu 68 peratus (48,496) berbanding bukan Melayu 32 peratus (22,915).

Manakala pertambahan pengundi baharu bagi suku tahun kedua 2017 adalah seramai 9,113 pengundi.

Pengarah Pilihan Raya PH Kuala Selangor B. Sivabalan berkata, pada 2008 dan 2013, parti yang bertanding meletakkan calon yang berbeza etnik, bukan majoriti kaum dan bukan calon tempatan di salah satu daripada tiga kerusi Dun mewakili parti yang bertanding.

B Sivabalan

“Pada (PRU12) 2008 Parlimen Kuala Selangor dimenangiĀ  Pas. Bagi kerusi Dun Bukit Melawati parti bertanding BN dan PKR meletak calon kaum India sedangkan majoriti pengundi di situ adalah Melayu.

“Namun Pas dan PKRĀ  menang di Parlimen Kuala Selangor dan Dun Bukit Melawati kerana jumlah keluar mengundi kurang disebabkan terdapat undi protes daripada kaum Melayu.

“Pada 2008 di Dun Bukit Melawati kemenangan memihak kepada Muthiah Maria Pillay (PKR) melawan (BN-MIC) K Parthiban. Ini menunjukkan faktor etnik tidak berlaku di Bukit Melawati kerana peratusan kaum lebih kurang setara tidak memberi kesan kepada pengurangan sokongan pengundi terhadap parti bertanding.

“Pada pilihan raya umum PRU13 (2013) di Dun Bukit Melawati, BN meletakkan calon tempatan dari Umno, tetapi calon PKR pula dari Kapar yang bertanding di kerusi Dun Bukit Melawati.

“Bagi Dun Ijok faktor etnik tidak menjadi isu salah satu kaum bertanding boleh menang. Ini kerana pada 2013 Khalid Ibrahim (PKR) mengalahkan Mohd Sayuti Said (BN-Umno),” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dalam persempadanan semula kawasan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),terdapat peralihan Daerah Mengundi (DM) bagi tujuan meningkatkan jumlah pengundi Melayu terutama di Dun Melawati dan Dun Ijok.

Ini adalah sentimen Umno-BN bahawa orang Melayu akan mengundi calon Melayu yang mana BN menang menentang Pas dalam dua kali pilihan raya pada 2008 dan 2013 lalu.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kawasan AMANAH Kuala Selangor menjelaskan, berlaku peralihan membabitkan DM dan lokaliti namun, ia tidak menjejaskan peluang PH untuk menawan Kuala Selangor.

“Dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya ia tidak menimbulkan rintangan kepada PH untuk memenangi tiga dun yang kini meliputi 38 daerah mengundi sahaja setelah satu daerah mengundi dikeluarkan dari Parlimen Kuala Selangor.

“Dalam syor pertama satu daerah mengundi di Lubok Jaya dikeluarkan ke Dun Permatang di Parlimen Tanjong Karang.

“Bila syor persempadanan pertama di buat apa yang dicadangkan 2 DM dikeluarkan DM Lubok Jaya (Dun Bukit Melawati) yang pada masa itu bilangan pengundi 87 pengundi masuk ke Parlimen Tanjong Karang.

“Manakala DM Taman Saujana Utama 4,700 pengundi (Dun Jeram) di masukkan ke Dun Paya Jaras di bawah Parlimen Sungai Buluh (dulu Parlimen Subang).

“Selain itu berlaku juga reshuffle daerah mengundi membabitkan 3 Dun.

“SPR telah keluarkan empat DM dari Dun Jeram membabitkan DM Bukit Kucing (3,165), Pekan Sungai Buluh (1,105), Jeram Utara (2,020) dan Sasaran Jeram (1,266) masuk ke Dun Bukit Melawati.

“Dari Dun Jeram iaitu DM Ladang Bukit Ijok (143), Parit Mahang (1,602) dan Bukit Cherakah (2,517) dipindahkan ke DUn Ijok.

“Dari Dun Ijok DM Tuan Mee (2,043) dipindahkan ke Dun Jeram,” ujarnya.

Justeru dengan peralihan daerah mengundi ini, syor pertama persempadanan SPR telah mengubah demografi pengundi semata-mata untuk meningkatkan jumlah pengundi Melayu dengan memecahkan majoriti pengundi bukan Melayu di Dun tersebut.

“SPR pindahkan pengundi kerana nak tambahkan pengundi Melayu di tempat lain supaya tiada kawasan yang ada majoriti bukan Melayu terutama di Dun Ijok peratusannya 52 peratus Melayu dan 48 peratus bukan Melayu dengan kenaikan 10 peratus pengundi Melayu semata-mata untuk memberikan kemenangan kepada BN.

“Begitu juga peratusan yang tinggi bagi Dun Bukit Melawati (63%-M:15%-C:22%-I) dan Dun Jeram (79%-M:7%-C:14%-I) selepas persempadanan.

“Ini kerana majoriti penyokong PH daripada bukan Melayu berada di Parlimen Kuala Selangor. Ini jelas menunjukkan BN merancang untuk merampas semula Negeri Selangor dengan hasrat menawan Parlimen dan Dun di Kuala Selangor,” ujarnya.

Beliau juga menerangkan mengenai lokaliti dalam syor pertama dikeluarkan dari Parlimen Kuala Selangor iaitu lokaliti DM Saujana Utama.

Ini menyebabkan menganggu kawasan persempadanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan menyukarkan pengundi untuk membuang undi kerana pusat daerah mengundi mereka berada jauh dari tempat tinggal.

“Di DM Lubok Jaya telah dipindahkan ke Parlimen Tanjong Karang ini kerana tiap kali pilihan raya DM Lubok Jaya akan memberi kemenangan kepada calon BN.

“Selain itu DM Saujana Utama yang menyumbang pengundi terbanyak pembangkang pada PRU13 dan PRU12 juga telah dipindahkan ke Parlimen Sungai Buloh.

“Dalam syor kedua kita buat bantahan kepada DM Saujana Utama kerana ia menyumbangkan pengundi PH pada PRU12 dan PRU13.

“Apabila dipindahkan ke Parlimen Sungai Buloh yang mana PBT membabitkan Majlis Pembandaran Petaling Jaya Utara dan Majlis Perbandaran Shah Alam sedangkan sebelum syor pertama DM Saujana Utama dibawah Majlis dan Pejabat Daerah Kuala Selangor.

“Ini akan menyusahkan rakyat untuk berurusan dengan dua PBT dan dengan bantahan dibuat itu, DM Saujana dikembalikan ke Parlimen Kuala Selangor,”terangnya.

Baca: Pengundi Parlimen Parit usah termakan mata kail