Malaysia Dateline

Faktor generasi muda dalam mempengaruhi keputusan PRU15

Oleh kerana pilihan raya umum diadakan setiap lima tahun sekali, maka berlaku pergantian generasi. Maksudnya, dalam lima tahun itu, sebahagian pengundi meninggal dunia kerana usia tua. Mereka digantikan dengan generasi muda yang baharu pertama kali jadi pengundi.

Cita rasa generasi baharu tentulah berbeza daripada mereka yang terdahulu dalam serba-serbi termasuklah politik, dalam negara dan antarabangsa. Sebab itu masyarakat pasti berubah. Politik negara juga berubah. Parti kuat tidak akan selama-lamanya berkuasa. Fahaman politik juga tidak akan selama-lamanya dianuti.

Perubahan generasi ini tidak dapat dirasai dalam setahun. Tetapi ia dapat dikesan jika dilihat dalam masa satu dekad, atau 10 tahun. Perkara ini berlaku di semua negara stabil yang mengamalkan sistem demokrasi berpilihan raya pelbagai parti. Maka setiap parti berusaha untuk terus relevan bagi anak-anak mudanya. Tetapi anak muda tidaklah selamanya muda, lama-lama mereka juga menjadi tua.

Pada umumnya, anak muda mempunyai fikiran politik yang berbeza daripada golongan tua. Mereka dikatakan anti-establishment. Ia juga bermakna mereka menentang parti yang memerintah. Tetapi andai kata mereka menyertai parti pemerintah, golongan ini mempunyai pandangan berbeza daripada pemimpin parti berkenaan. Kalau politik negara tidak dipinda oleh generasi baharu, parti pemerintah pula yang akan mengalami perubahan.

Secara umumnya, anak-anak muda yang sedar politik ketika muda akan menyertai atau menyokong parti-parti pembangkang. Apabila bilangan mereka banyak, maka akhirnya parti pemerintah pun kalah. Seringkali cara parti pemerintah hendak terus berkuasa ialah dengan memecah-belahkan pembangkang. Itulah yang sering mereka lakukan di seluruh dunia.

Walaupun anak-anak muda yang sedar politik sekarang lebih mudah untuk memperoleh maklumat daripada pelbagai sumber dari seluruh dunia, tetapi mereka menghadapi tiga cabaran yang menumpulkan keberkesanan mereka.

Pertama, oleh kerana berlaku lambakan maklumat, tumpuan mereka terhadap sesuatu isu menjadi pudar dan terpecah-pecah. Mereka menjadi distracted dan tidak fokus terhadap sesuatu yang sepatutnya menjadi keutamaan.

Kedua, oleh kerana dalam dunia maya, semua orang dipandang dan dianggap sama, tidak kira tua atau muda, berpengetahuan atau tidak, berbudi atau tidak, maka anak-anak muda bukan saja tiada rasa hormat pada orang lebih tua dan yang lebih berpengetahuan dan berbudi, tetapi mereka berasa dirinya sudah cukup berwibawa untuk menangani masalah-masalah dunia.

Ketiga, pengalaman hanya ada pada orang tua. Orang muda tiada pengalaman. Bagi orang muda, pengalaman tidak penting. Apa yang penting hanyalah ilmu pengetahuan dan kemahiran. Tetapi parti yang bagus adalah kerjasama kompak antara orang tua berpengalaman dan anak muda yang berilmu dan mahir. Dengan pengalaman, generasi tua memahami bagaimana sesuatu perkembangan politik itu telah berlaku. Mereka juga mengenali tokoh mana yang dapat dipercayai atau tidak. Integriti seseorang hanya dapat diuji melalui pengalaman. Pelajaran daripada pengalaman tidak dapat dirakam ke dalam buku atau media maya. Ia hanya milik mereka yang berpengalaman dan sedikit sebanyak boleh diraih melalui perbualan lisan, sesuatu yang tidak boleh terakam dalam tulisan.

Generasi tua telah melalui hidup sebagai anak muda. Walaupun pengalaman setiap generasi tentunya berbeza mengikut keadaan politik semasa negara tetapi psikologi anak muda tidak banyak berbeza. Dalam hal ini tentulah perlu dibezakan antara anak muda yang sedar politik dengan mereka yang hanya mengundi tanpa sebarang pengetahuan.

Anak muda yang sedar politik akan bersifat idealis dan percaya mereka boleh melakukan sesuatu bagi mengadakan perubahan iaitu mewujudkan negara yang lebih baik. Mereka juga tidak sabar dan bersifat naif.

Tentulah semua parti mempunyai penyokong-penyokong dari kalangan anak muda. Tetapi bagi anak muda yang sedar politik dan idealis, pada umumnya mereka menolak establishment dan memihak pada pembangkang.

Setelah bergantian generasi, anak muda turut menyumbang pada kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum tahun 2018. Walaupun PH diketuai oleh ahli politik paling tua di negara ini, tetapi janjinya untuk membersihkan negara menarik sokongan anak-anak muda yang idealis. Dan anak-anak muda inilah yang paling kecewa dan marah terhadap pengkhianatan mandat rakyat yang dilakukan ahli-ahli politik Perikatan Nasional.

Sebenarnya dalam PRU tahun 2018, undi untuk pembangkang terpecah dua. Sebahagian besarnya pergi ke PH, dan bilangan yang juga penting pergi ke Pas yang ketika itu masih bertanding sebagai parti pembangkang. Undi anak-anak muda juga berpecah kepada PH dan Pas. Perpecahan undi pembangkang inilah yang dikehendaki BN. Walaupun Umno dan Pas mempunyai hubungan baik tetapi mereka bertanding sesama sendiri supaya undi pembangkang pecah dan memberikan kemenangan pada BN. Maka Pas pun bertanding di banyak tempat yang ia tidak akan boleh menang. Ia seolah-olah menyatakan jika seseorang tidak suka pada BN, tidak mengapa. Berilah undi pada Pas asalkan jangan undi pada PH.

Maka undi pada Pas dalam PRU ketika itu kelihatan seperti undi untuk menolak BN. Tetapi itu sebenarnya adalah undi untuk memberi kemenangan pada BN. Kalau dilihat dari kaca mata etika, ia merupakan suatu penipuan. Tetapi jika dilihat dari segi politik, ia dianggap sebagai strategi.

Kalau sebelum 2018, strategi sedemikian boleh memberi kemenangan pada BN. Tetapi tidak pada PRU 2018. Ini kerana undi untuk PH adalah besar hinggakan undi Pas gagal untuk menjejaskannya.

Mandat yang diterima oleh Pas daripada pengundi adalah supaya parti itu berdiri sendiri, bukan bersama BN atau PH. Itulah maksud sebahagian daripada pengundi yang memberi undi pada parti itu. Pengundi-pengundi sebegini tentu berasa kecewa apabila selepas PRU itu, Pas bekerjasama dengan Umno. Lebih-lebih lagi apabila Pas turut serta dengan kerajaan Perikatan Nasional. Tidakkah kerajaan PN ini diketuai oleh mereka yang berada dalam PH semasa PRU dahulu? Sedangkan masa itu pengundi berkenaan mengundi Pas kerana menolak PH dan BN.

Menjelang PRU tahun 2018, ada juga orang yang menolak ketiga-tiga parti, BN, PH dan Pas. Mereka menganggap semua parti politik ini gagal untuk berkhidmat pada rakyat . Hakikat bahawa sejak merdeka, hanya Umno yang memerintah kerajaan persekutuan tidak diambil kira. PH dan Pas tidak mempunyai sebarang rekod memerintah negara.

Golongan kecil ini mengambil sikap berkecualii. Cuba bayangkan kalaulah bilangan golongan ini besar dalam PRU itu, negara ini tidak mengalami perubahan. Pihak yang menang ialah BN dan parti itu akan terus memerintah. Ini kerana BN mempunyai penyokong tegar yang sebahagiannya memperoleh manfaat langsung dari kekuasaan parti itu. Sementara di pihak pembangkang khususnya PH, penyokongnya macam cecair, amat bersikap kritikal dan mudah berubah hati dengan mereka tidak berasa terikat dengan parti. Jika mereka juga mengambil sikap berkecuali kerana marah pada PH, maka BN mudah meraih kemenangan. Maka sesiapa yang bersikap berkecuali bererti ia memberi kemenangan pada BN.

Dalam PRU ke-15 ini, lebih banyak orang termasuk anak-anak muda yang marah pada PH. Ini kerana kejatuhan PH adalah kerana pengkhianatan pemimpinnya sendiri. Banyak isu yang mencetuskan kemarahan ini. Antaranya ialah bagaimana sebahagian ahli-ahli politik PKR yang bertahun-tahun berjuang menentang BN tetapi akhirnya boleh bekerjasama dengan Umno. Begitu juga bagaimana ahli-ahli politik Bersatu yang berjaya memperolehi undi kerana dapat meyakinkan orang ramai tentang kleptokrasi tetapi akhirnya boleh pula bekerjasama dengan BN.

Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim juga tidak terlepas dari kemarahan para penyokong PH. Mengapa Mahathir gagal memperoleh sokongan dari partinya sendiri, Bersatu. Ditambah pula peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri tanpa sedikit pun berbincang dengan Majlis Presiden. Beliau pula bercakap mengenai kerajaan perpaduan. Para pengundi PH tidak pernah mengundi untuk kerajaan perpaduan, mereka mahukan kerajaan PH. Malah kerajaan PH pun sudah tertubuh. Kalau parlimen tergantung, barulah boleh bercakap mengenai kerajaan perpaduan.

Kemarahan para penyokong PH juga timbul terhadap kegagalan Mahathir dan Anwar untuk memulihkan kerajaan PH. Kedua-duanya terus berbalah dan sikap mereka itu hanya melanjutkan hayat kerajaan PN.

Jadi apakah kesan kemarahan ini pada PRU akan datang? Ada yang dahulunya penyokong PH akan memberi undi kepada PN. Ini kerana mereka adalah penyokong ahli-ahli politik Bersatu termasuk yang merupakan bekas PKR. Ada pula penyokong PH yang merajuk dan tidak mahu mempedulikan lagi politik. Sikap ini akan hanya memberi keuntungan pada PN dan BN. Sementara BN mengharapkan orang Umno yang memberi undi pada PH pada PRU lalu akan kembali ke pangkuannya. Sementara ada anak anak muda bersikap berkecuali dan enggan mengundi.

Tugas pendukung-pendukung PH adalah amat berat dalam menghadapi PRU ke-15 ini. Tetapi akan sentiasa ada bahagian besar rakyat Malaysia yang mahukan negara ini menjadi lebih baik dan bersih. Anak-anak muda yang idealis tentu mahukan negara yang lebih baik.

Walaupun kerajaan PH mempunyai banyak kelemahan tetapi ia telah mengorak langkah untuk menjadikan negara ini bersih dan lebih baik. Lebih penting lagi ia memberi harapan dan ruang kepada semua rakyat untuk merasakan bahawa Malaysia ini adalah milik semua warga negaranya.