Malaysia Dateline

Faktor hubungan Mahathir-Anwar terus ganggu proses pertukaran kerajaan?

Ketika heboh kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional (PN) semakin goyah dan hilang sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen, hubungan dua tokoh utama pembangkang, Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, kembali diperkatakan.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya sempat mentadbir negara selama 22 bulan, runtuh hujung Feb lalu, antara lain disebabkan kontroversi proses peralihan kuasa, juga dipengaruhi faktor hubungan tajam dan dingin Mahathir-Anwar.

Apakah kedua-dua negarawan ini, serta pengikut tegar masing-masing, tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada tragedi yang cukup melukakan hati itu? Pakatan Harapan sebenarnya telah membuka pintu belakang untuk dicerobohi dengan mudah oleh kelompok pengkhianat dan opurtunis politik.

Sejarah pahit itu bagaikan baru semalam berlaku. Lukanya masih berdarah panas. Kita umpama masih berdiri memijak korban-korban yang kaku bergelimpangan. Anehnya, kita seolah-olah gagal menjernihkan dendam kesumat atau sekurang-kurangnya saling syak-wasangka yang masih menebal. Seolah-olah terbuku, biarlah sama-sama melepas walaupun pihak lawan yang menang!

Dalam masa 24 jam mutakhir, heboh pasaran berita angin yang sukar disahkan, sokongan terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang sedia tipis itu, semakin berkurangan, di bawah paras minimum 112. Pemuka kerajaan, khususnya di kalangan Bersatu, mungkin berpaling menyokong Mahathir. Angkanya berubah-ubah, diselang-seli penafian; mafhumnya regim PN umpama telur di hujung tanduk.

Namun, dalam suasana yang melorong potensi terbaik untuk kembali memartabatkan mandat rakyat itu, malang sekali, kesatuan oposisi juga nampak rapuh, terutama membabitkan hubungan Mahathir-Anwar. Tentu sahaja banyak cerita-cerita liar yang dikumandangkan semula, mencuit rasa curiga sesama pembangkang.

Sudah pasti di pihak Muhyiddin, Umno dan Pas, kegerunan mereka nombor wahid adalah persefahaman di antara Mahathir-Anwar. Malah, kegagalan untuk menobatkan semula Mahathir sebagai PM sejurus beliau meletakkan jawatan, adalah berpunca daripada tidak sepakatnya mencalonkan nama PM ketika itu; berpecah di antara penyokong Mahathir dan Anwar sehingga memaksa baginda Agong membuka semula pencalonan.

Ada pihak menyifatkan hubungan Mahathir-Anwar umpama anjing dengan kucing, sukar untuk dijernihkan kembali. Kedua-duanya pula dikelilingi oleh “para penasihat” yang saling bertentangan dan bermusuhan. Misalnya, umum mengetahui bagaimana dalamnya perseteruan di antara bekas setiausaha politik Mahathir, Zahid Mat Arip dan Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri sekarang, dengan Anwar. Kedua-duanya menjadi orang kepercayaan Mahathir. Ditambah lagi dengan faktor “anak angkat” Mahathir, Azmin Ali.

Terus-terang diakui, amat payah untuk mengembalikan rasa saling mempercayai Mahathir-Anwar ini. Yang ditagih bukannya sikap memaafkan, tetapi pengorbanan demi menyelamatkan masa depan negara. Jika tiga tahun lalu, mereka berdua boleh bertolak-ansur untuk menumbangkan regim kleptokrasi Najib Razak, kini masanya untuk kembali berpadu tenaga menyelamatkan tanahair yang sedang terancam dengan kelompok hampir sama.

Mungkin ada pihak mencadangkan jalan keluar, sifir mudahnya, nyahkan sahaja dinosour politik ini, Mahathir-Anwar, kita tonjolkan tokoh-tokoh baharu yang lebih dinamik dan tidak dibebani bagasi sejarah. Persada politik kita sebenarnya tidak tandus bakat-bakat kepemimpinan berwibawa.

Namun real politiknya tidak semudah itu, terutama dalam konteks merebut kembali kuasa yang dicuri di pertengahan jalan itu. Malah ada pendapat, meletakkan tanggungjawabnya kepada Mahathir yang dikira “bersalah” meletakkan jawatan sehingga terburai kerajaan PH. Anwar pula dianggap sukar memperolehi cukup bilang sokongan di luar PH, terutama daripada Sabah dan Sarawak.

Polemik di antara penyokong Mahathir-Anwar ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Ia mesti dimuktamadkan dengan terma-terma yang lebih mengikat, ataupun kita perlu sabar menunggu sehingga penggal Parlimen ini dibubarkan. Namun, itu merupakan sesuatu yang pelik kepada watak polikus yang dinamis; bukankah menanti esok sudah terlalu lama untuk orang politik, apatah lagi tiga tahun lagi?