Kemusykilan yang paling popular pada ketika ini bukannya sama ada Barisan Nasional (BN) Sarawak akan memenangi Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 tetapi apakah kemenangan itu boleh disabitkan dengan kekuatan BN Semananjung atau pun dengan bahasa yang lebih mudah ialah adakah faktor Datuk Seri Mohd Najib Razak bakal memainkan peranan demi meraih undi pengundi.
Sudah tidak syak lagi BN Sarawak yang diketuai oleh Tan Sri Adenan Satem akan sekali lagi menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga kerusi kerana percaturan dan strategi Adenan adalah untuk menyakinkan rakyat Sarawak bahawa beliau adalah pemimpin untuk kepentingan rakyat di bawah bayu. Lagi pun Sarawak dari dulu lagi sememangnya kubu kuat BN.
Walaupun Adenan pernah berkata bahawa PRN kali ini bersangkutan dengan kepimpinan beliau berhadapan dengan isu tempatan dan tiada kena mengena dengan kepimpinan Najib atau isu nasional, tetapi hakikatnya adalah faktor Putrajaya tetap wujud dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Hakikatnya sejak Najib dilantik menjadi Perdana Menteri, beliau telah melawat Sarawak lebih dari 50 kali dan begitu juga dengan timbalan beliau Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga membuat lawatan dengan begitu kerap sekali.
Kekerapan lawatan kedua-dua pemimpin ini menjadi begitu ketara lebih-lebih lagi bila di hidu PRN11 akan berlangsung dalam masa terdekat. Paling penting setiap lawatan disertai dengan berbagai imbuhan untuk negeri dan rakyat Sarawak.
Malah jika diteliti senario sebelum kempen bermula, Pakatan Harapan telah mengatur strategi berkempen menggunakan isu nasional sebagai tema utama mereka terutama sekali yang melibatkan 1MDB dan derma RM2.6 bilion dengan harapan umpan tersebut disambut oleh rakyat Sarawak.
Sebab itu begitu penting bagi BN Sarawak bukan sahaja untuk memperolehi jumlah dua pertiga kerusi tetapi mesti melebihi apa yang dicapai ketika PRN10 pada tahun 2011. Jika pada pilihanranya lepas BN telah kehilangan lapan kerusi kepada Pakatan Rakyat ketika itu, maka tidak syak lagi paling tidak rampasan kembali kerusi yang telah hilang bakal menjadi keutamaan BN.
Pada PRN kali ini, Sarawak akan menyaksikan 11 kerusi tambahan menjadikan 82 kerusi kesemuanya yang menjadi rebutan. Kemungkinan besar tiada masalah yag akan dihadapi BN membolot kesemua 11 kerusi baharu ini kerana kesemuanya terletak di kawasan pendalaman dimana secara tradisinya menjadi kubu kuat BN.
Tetapi yang menjadi percaturan adalah 12 kerusi milik DAP dan 3 PKR kerana secara puratanya pengundi majoritinya adalah Cina. Jika di tinjau bilangan pemimpian Pakatan Harapan dari Semenanjung yang berkunjung ke Sarawak setakat ini memang sudah jelas tema kempen paling popular adalah isu nasional terutama sekali yang membabitkan Perdana Menteri.
Terdapat sedikit percakaran diantara rakan PKR dan Amanah apabila DAP mengumumkan akan bertanding 29 kerusi kerana PKR Sarawak menegaskan persetujuan pemimpin PH peringkat nasional tidak selaras dengan kehendak pemimpin negeri. BN juga menghadapi masalah serupa apabila beberapa calon dari parti serpihan SUPP dan SPDP akan bertanding dibawah tiket BN.
Jika pendekatan BN adalah menggunakan strategi calon langsung tetapi pendekatan PH pula akan berlaku pertandingan diantara rakan DAP dan PKR dalam beberapa kawasan yang menjadi rebutan.
Tidak ada masalah bagi parti tunjang BN iaitu PBB untuk memenangi kesemua kerusi yang dipertandingkan tetapi tumpuan akan diberikan kepada rakan BN yang dua iaitu SUPP dan SPDP untuk merampas kembali paling tidak beberapa kerusi dari sejumlah lapan yang kedua-dua parti ini tewas kepada DAP dan PKR pada PRN 2011.
Paling mencuri perhatian adalah kerusi milik DAP terutama sekali di Kuching dan Miri dimana pengundi majoritinya adalah Cina. Jika BN dapat merampas kembali beberapa kerusi tersebut maka ini boleh dijadikan sebagai penanda aras sokongan pengundi Cina terhadap BN.
Sebab itu juga ditegaskan PRN Sarawak kali ini bukan hanya berkisar dengan aura Adenan semata-mata tetapi faktor Najib tidak boleh di ketepikan dengan begitu sahaja.