‘FAM perlu sentuhan TMJ’

‘FAM perlu sentuhan TMJ’

Pemuda Amanah Negeri Johor berpandangan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim adalah calon paling layak menduduki kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Taqiuddin ChemanKetuanya Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, kelayakan itu berdasarkan visi, misi dan program pembangunan bola sepak oleh TMJ pada Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) yang dilihat berjaya dan sudah membuahkan hasil.

“TMJ telah berjaya membawa pasukan JDT memenangi Liga Super tiga kali berturut-turut di samping berjaya membawa nama JDT gah di rantau Asia setelah memenangi Piala AFC.

“Pembangunan bola sepak di akar umbi di negeri Johor juga berjaya diuruskan dengan baik ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin kelmarin, mengumumkan senarai empat tokoh yang dicalonkan 20 ahli gabungan FAM bagi merebut jawatan presiden badan induk itu pada Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac depan.

Empat tokoh berkenaan ialah bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa; Tunku Ismail; bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Taqiuddin berkata, pihaknya berharap seluruh ahli gabungan membuat pemilihan berdasarkan merit dan sudah tentu merit itu ada pada TMJ untuk diangkat selaku Presiden FAM yang baru.

“Atas kejayaan-kejayaan yang dilakukan TMJ menjadi asas utama kenapa pemilihan TMJ sebagai Presiden FAM boleh menjadi momentum kepada pembangunan bola sepak negara selepas ini,” katanya.

Beliau juga berkata, seluruh peminat bola sepak mengharapkan perubahan yang lebih baik terhadap pembangunan sukan ini di Malaysia.

“Sejarah bola sepak negara melihatkan bahawa Malaysia sebenarnya mampu untuk pergi jauh kehadapan.

“Kita punya sejarah yang cukup nostalgik dalam sukan nombor satu negara ini. Lagenda bola sepak seperti Allahyarham Mokhtar Dahari sudah tentu meniti dibibir kita ketika itu.

“Pembangunan bola sepak negara dilihat semakin merosot dari hari ke sehari. Terbaru Malaysia berada pada ranking ke 161 dunia.

“Menjelang pemilihan FAM akan datang, sudah tentu semua peminat bola sepak di seluruh negara mengharapkan satu perubahan yang lebih baik ke arah pembangunan bola sepak negara dapat dilakukan,” katanya.

TAGS