FAM sambut baik usaha MISC dekatkan bola sepak dengan kaum India

FAM sambut baik usaha MISC dekatkan bola sepak dengan kaum India

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyambut baik perancangan hala tuju Majlis Sukan India Malaysia (MISC) untuk menjadikan bola sepak sebagai ejen riadah dalam kalangan masyarakat India.

Perancangan itu terkandung dalam pembentangan MISC sewaktu kunjungan hormat FAM ke atas majlis sukan berkenaan hari ini.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan hari ini berkata selain menerangkan pelan hala tuju serta jadual majlis sukan itu sepanjang 2020, MISC turut mengemukakan beberapa perkara untuk diselesaikan bersama.

“Menerusi kunjungan hormat dan dialog hari ini, MISC ada berbincang dengan FAM tentang cara membuka ruang buat pelajar khususnya remaja India berusia 15 hingga 17 tahun bergerak aktif dalam bola sepak.

“Saya difahamkan penyertaan dan bakat murid di peringkat sekolah rendah sangat memberangsangkan, cuma kita perlu sama-sama memikir cara untuk menggilap bakat itu daripada lenyap apabila mereka memasuki alam remaja iaitu dengan memperbanyakkan program di peringkat sekolah tahun depan.

“Hari ini juga, kita sama-sama berbincang dan mencari jalan untuk mempromosikan lagi bola sepak dalam kalangan kaum India terutama di peringkat akar umbi,” katanya.

Hadir sama, Presiden MISC, Datuk R. Subramaniam bersama Naib Presiden MISC merangkap Naib Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.

Kunjungan hormat ke atas MISC adalah yang ketujuh selepas Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

Hamidin berkata Malaysia adalah negara majmuk dengan bola sepak sememangnya terbukti menyatu-padukan rakyat.

“Justeru, sebagaimana dengan apa FAM sudah jalinkan dengan MCFA, sama juga kami bawakan ke MISC dengan melancarkan program khas terutama dari sudut akar umbi untuk menarik lebih ramai penyertaan kaum India sebagai pemain, pengadil, jurulatih atau pegawai.

“MISC terbukti bergerak seiring dengan FAM dalam membangunkan bola sepak negara apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2019 pada 13 Okt lalu,” katanya.

MISC adalah pasukan jemputan pertama yang juga bukan ahli gabungan PBMM bergelar juara PERR sejak Singapura kali terakhir meraihnya pada 1983 dengan menewaskan Pulau Pinang 4-2 di pentas final.