Malaysia Dateline

Fama hantar bantuan Covid-19 ke pejabat Pas

Deretan bungkusan barangan keluaran Fama dalam pejabat Pas di Tumpat.

Tular di media sosial gambar yang memaparkan sebuah lori milik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menghantar bantuan ke pejabat Pas di Tumpat Kelantan.

Fama dikatakan membuat penghantaran sebanyak 1,000 jenis bungkusan barangan Agromas sebagai bantuan untuk penduduk di kawasan Parlimen berkenaan.

Hal tersebut mendapat perhatian warga maya yang mendakwa agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu disalahguna seolah-olah menjadi agensi di bawah parti Pas.

Walau bagaimanapun, gambar yang dimuatnaik melalui Instagram rasmi Fama.malaysia itu dipercayai telah dipadamkan.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan ialah Ahli Parlimen Pas Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang juga Setiausaha Pas Kelantan.

Sementara itu, Che Abdullah dalam muatnaik statusnya di Facebook tadi tampil menjelaskan, barangan tersebut dibeli melalui Fama dan tidak diambil secara percuma.

Katanya, penghantaran berskala besar itu memerlukan pengangkutan lori Fama dan tidak melibatkan sebarang manipulasi.

“Barangan akan diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Tumpat.

“Cuma penghantaran berskala besar Fama menyediakan penghantaran melalui lori. TIada istilah manipulasi mana-mana pihak. harap maklum,” jelasnya.