FAMA Melaka sasar hasil jualan Bazar Peduli Rakyat RM100,000

FAMA Melaka sasar hasil jualan Bazar Peduli Rakyat RM100,000

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menyasarkan hasil jualan kira-kira RM100,000 bagi tiga program Bazar Peduli Rakyat (BPR) yang berlangsung pada tahun ini, kata Pengarah FAMA Melaka Che Samudin Hassan.

Beliau berkata setakat ini hasil jualan bagi dua BPR di negeri itu yang berlangsung di Bukit Baru pada 26 Okt lepas dan Bandar Hilir hari ini telah mencecah kira-kira RM60,000.

“Program BPR ketiga akan berlangsung di Durian Tunggal pada bulan depan dan kita percaya sasaran hasil jualan RM100,000 akan mampu dicapai memandangkan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

“Menerusi BPR, orang ramai berpeluang membeli pelbagai stok bekalan makanan, sayur-sayuran, buah-buahan, hasil laut, ayam, daging dan telur pada harga antara lima hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Program BPR di Bandar Hilir di sini, hari ini.

Program yang dirasmikan Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Hilir, Datuk Tey Kok Kiew.

Mengulas lanjut, Che Samudin berkata penganjuran BPR yang melibatkan kerjasama antara FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan jabatan serta agensi kerajaan lain itu turut menjalankan aktiviti ‘My Best Buy’, Karavan Tani, Jualan Terus Dari Ladang dan ‘happy hour’.

Beliau berkata BPR juga membantu masyarakat kurang bernasib baik dan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) menerusi bantuan bekalan makanan melalui program ‘Jom Kongsi Rezeki’ yang disumbangkan badan bukan kerajaan iaitu Yayasan Prihatin Insan, Food Aid Foundation dan Mutiara Food Bank.

Katanya program itu setakat ini telah memberi manfaat kepada kira-kira 100 penerima melibatkan barangan atau produk bernilai RM10,000.

— BERNAMA