Malaysia Dateline

FAMA N. Sembilan sasar nilai jualan pasar tani RM33.6 juta tahun ini

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan menyasarkan nilai jualan RM33.6 juta dapat dijana melalui pasar tani di seluruh negeri, pada tahun ini.

Pengarahnya Asmizal Jaafar berkata sasaran itu berdasarkan penambahan pasar tani baharu, kekerapan operasi dan peningkatan peserta.

Katanya sehingga kini, terdapat 26 pasar tani yang beroperasi di seluruh Negeri Sembilan dengan bilangan usahawan niaga yang terlibat seramai 1,094 dan 1,550 bilangan lot niaga.

“Daripada 26 pasar tani ini, sebuah pasar tani yang baharu dibuka iaitu Pasar Tani Taman Mulia, Pajam pada September lepas. Berdasarkan nilai jualan dari Januari hingga Ogos tahun ini yang dicatatkan daripada 25 pasar tani tidak termasuk pasar tani yang baharu dibuka di Pajam iaitu berjumlah RM22.4 juta.

“Jadi kami sasarkan menjelang hujung tahun ini, nilai jualan akan meningkat sehingga RM33.6 juta berdasarkan pertambahan kekerapan operasi pasar tani di lokasi sama, peningkatan peserta dan kami juga sentiasa meluaskan akses pasaran dari segi outlet iaitu pertambahan bilangan pasar tani,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas sambutan ulang tahun FAMA ke-54 di Pasar Tani Batu 4 Port Dickson di sini, hari ini.

Tambah Asmizal pihaknya sentiasa mengalu-alukan penyertaan sebagai peserta pasar tani termasuk mereka yang mempunyai kebun sendiri dan mahu berniaga sendiri hasil pertanian mereka.

“FAMA Negeri Sembilan sentiasa sambut baik penyertaan peserta pasar tani dan kami juga amat menggalakkan jika ada petani yang mempunyai ladang sendiri dan mahu jual sendiri produk mereka kerana dengan cara itu, harga mungkin lebih rendah.

“Kami akan sentiasa buka ruang dan peluang kepada mereka yang mahu berniaga insya-Allah kami sediakan peralatan yang cukup untuk mereka berniaga di pasar tani,” katanya.

Berdasarkan rekod FAMA Negeri Sembilan, Asmizal berkata pasar tani yang mencatatkan jualan tertinggi bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini iaitu Pasar Tani Ampangan dengan nilai jualan RM2.6 juta diikuti Pasar Tani Paroi Jaya RM2.5 juta dan Pasar Tani Port Dickson RM1.6 juta.

“Berdasarkan produk jualan yang paling mendapat sambutan bagi tempoh yang sama, makanan dan minuman merekodkan nilai jualan RM3.6 juta diikuti ikan laut RM3.2 juta dan sayur-sayuran RM2.5 juta,” katanya.

— BERNAMA