Malaysia Dateline

Fama perluas program jimat belanja dapur bagi bantu masyarakat

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan memperluaskan Program Jimat Belanja Dapur (JBD) yang menawarkan diskaun bagi barang keperluan harian ke lebih 1,200 lokasi di seluruh negara.

Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata usaha berkenaan diambil bagi mengurangkan beban perbelanjaan keluarga melalui penawaran diskaun antara lima dan 20 peratus yang melibatkan 27 jenis komoditi utama yang telah dikenal pasti.

Inisiatif ini sebagai menyahut saranan kerajaan bagi meringankan beban rakyat akibat daripada kenaikan harga barang.

Oleh itu, dengan program sebegini masyarakat boleh menikmati harga barang yang jauh lebih berpatutan dari harga pasaran, katanya ketika ditemui Bernama selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah di Fama Point, Selayang, semalam.

Program JBD yang dimulakan di Pasar Tani Putrajaya, akan diteruskan ke 705 lagi outlet Pasar Tani, 429 outlet Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan 110 outlet Agrobazaar Rakyat 1 Malaysia (ABR1M) di seluruh negara, katanya.

FAMA ditubuhkan pada 1965 adalah badan berkanun yang menyelia, menyelaras dan meningkatkan pemasaran produk pertanian di Malaysia, termasuk mengawal aktiviti import dan eksport produk pertanian serta menyediakan kemudahan kredit untuk pemasaran produk-produk tersebut serta perkara-perkara berkaitan.