FAP dibelenggu masalah kewangan yang teruk

FAP dibelenggu masalah kewangan yang teruk

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) dibelenggu masalah kewangan yang begitu teruk.

Sehingga kini FAP masih mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM8,293,963.90 yang masih belum dapat diselesaikan.

Demikian dinyatakan oleh Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee.

Menurut beliau lagi, tunggakan ini merangkumi gaji pemain mengikut kontrak, KWSP, Perkeso, cukai pendapatan serta pinjaman kewangan untuk bas dan kereta.

Katanya, ia turut melibatkan bayaran sewa padang, bayaran utiliti Tenaga, Telekom dan sebagainya.

“Ramai jurulatih dan pemain tidak dibayar gaji mereka sejak Januari 2018 sehingga kini.

“Ia termasuk bayaran gaji kepada pemain-pemain Sukma Pulau Pinang yang rata-ratanya telah dipilih dari pasukan Piala Presiden bawah 21 tahun FAP untuk mewakili Pulau Pinang ke Sukma di Perak pada September ini.

“Isu ini merupakan masalah besar yang harus diselesaikan secepat mungkin, ” jelas beliau yang juga merupakan Adun Bagan Jermal.

Tegasnya lagi, boleh dikatakan hampir keseluruhan pasukan bola sepak FAP bermula dari pasukan senior yang bermain di Liga Premier, Junior sehinggalah ke pasukan Sukma terjejas dengan teruk akibat tunggakan tersebut.

Sehubungan itu katanya, sehingga 13 Julai yang lalu, kerajaan negeri telah memperutukan sejumlah RM2,829,120 bagi menjelaskan tunggakan yang dihadapi oleh FAP.

Tambahnya lagi, keseluruhan organisasi FAP perlu dirombak semula kerana boleh dikatakan peruntukan yang telah diberikan oleh kerajaan negeri kepada FAP adalah lebih banyak daripada peruntukan kepada pembangunan sukan yang lain.

“Peruntukan yang disalurkan kepada FAP juga mengatasi peruntukan-peruntukan jabatan dan agensi kerajaan negeri yang cemerlang prestasinya.

“Kini kerajaan negeri dalam proses perbincangan dan sedang mengkaji kaedah untuk menstruktur semula FAP.

“Tindakan ini adalah bagi memastikan FAP tidak menjadi liabiliti yang bergantung penuh kepada sumber kewangan kerajaan negeri, ” ujarnya lagi.