Malaysia Dateline

Farzana ‘berdarah’ aktivis, mampu berbahasa Mandarin

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari berpendapat calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Farzana Hayani Mohd Nasir mempunyai potensi besar untuk masa depan Melaka.

Menurutnya, mahasiswi Universiti Teknologi MARA (UiTM) tersebut banyak terlibat dalam pelbagai program PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Adly yang juga calon bagi kerusi DUN Bukit Katil dalam saingan empat penjuru itu berkata, Farzana turut memiliki kelebihan menguasai bahasa Mandarin.

Adly yakin Farzana mampu memacu kemajuan Sungai Rambai jika dipilih pengundi pada PRN Melaka, 20 November ini.

“Saya telah mengenali beliau (Farzana) ketika awal penubuhan Pakatan Harapan. Farzana banyak terlibat dalam program-program himpunan PH.

“Beliau mempunyai kebolehan berbahasa Mandarin. Pada ketika beliau masih muda lagi sudah berada di pentas politik.

“Saya juga mengenali bapa beliau yang juga seorang aktivis dan terlibat dalam PH yang sentiasa memberi khidmat terbaik.

“Jadi, potensi itu ada pada darah aktivis yang dimiliki keluarganya sendiri. Sudah pasti beliau ada potensi kepimpinan itu.

“Saya fikir beliau mempunyai potensi besar untuk masa depan Melaka. Kita cukup berbangga kerana PH dapat melahirkan pemimpin muda,” kata Adly dalam satu temubual yang dimuatnaik menerusi Facebook beliau malam tadi.

Farzana yang merupakan puteri bongsu mempunyai latar belakang keluarga aktivis.

Pengerusi AMANAH Melaka tersebut turut menambah Farzana yang juga Ketua Srikandi Keadilan Melaka berkenaan mampu memajukan Sungai Rambai yang terletak bersebelahan Johor itu.

“Saya yakin anak muda ini mampu memacu pertumbuhan masa depan Sungai Rambai,” katanya lagi.

Untuk rekod, Farzana yang berusia 21 tahun dan penuntut Ijazah Sarjana Muda UiTM Shah Alam itu merupakan calon termuda PH dari PKR.

Beliau antara 11 calon dari PKR yang akan bertanding pada PRN Melaka, 20 November ini selain sembilan dari AMANAH dan lapan diwakili DAP.

Pertandingan empat penjuru di N.28 itu menyaksikan Farzana akan berentap dengan Muhammad Jefri Safry (PN-Bersatu), Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis(BN-Umno).