Malaysia Dateline

Farzana penyambung ketokohan anak muda sebelum merdeka

Ketika diumumkan calon bagi Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) bagi Pakatan Harapan, nama Farzana Hayani atau Nana menjadi perhatian netizen kerana faktor umurnya.

Meneroka komentator di laman mukabukunya, ramai yang begitu sinis dan memandang negatif keupayaan beliau.

Ketua Pemuda AMANAH Tenggara Ridhuan Esa terkejut apabila Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang sepatutnya menyokong penampilan anak muda melalui calon pilihanraya, sebaliknya menganggap beliau adalah calon “mentah”.

“Begitulah “mentah”nya pemikiran anak muda yang disalah didik kerana faktor sokongan politik yang taksub,” kata beliau

Katanya, keberanian Nana boleh diangkat sebaris dengan keberanian dan ketokohan wanita muda seperti Tun Tan Sri Fatimah Hashim, Eng Ming Ching (Suriani Abdullah), Janaky Athi Nahapan, Aishah Ghani dan Shamsiah Fakeh.

Jelasnya, lima tokoh wanita muda sebelum Merdeka ini menggalas tanggungjawab besar mengetuai gerakan wanita dan ibu muda melawan penjajah dan mengajar rakyat pada ketika itu untuk bergerak berorganisasi dan berpolitik.

“Zaman yang jauh dari teknologi moden, infrastruktur yang lengkap serta komunikasi yang melebar disegenap pelusuk negara, mereka mampu bergerak sebagainpemimpin ketika usia muda.

“Nana, teruskan langkah dengan berani melawan persepsi dan kata-kata manusia yang tidak membaca sejarah.

“Semangat wanita muda sebelum merdeka akan membakar semangat anda untuk terus berjuang membuktikan bahawa anak muda mampu memimpin dan terpimpin,” katanya.

Justeru katanya, ruang anak muda untuk menjadi pemimpin dibuka luas di atas pentas politik negara dan terus menjadi tunjang kepada penentu dasar dan polisi negeri dan negara untuk keharmonian rakyat.

Farzana merupakan calon termuda dari Pakatan Harapan, penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.28 Sungai Rambai